Ahad, 17 Mei 2015 | 8:06pm
AKSI Khairul Idham Pawi (depan) ketika perlumbaan di Le Mans, semalam.
AKSI Khairul Idham Pawi (depan) ketika perlumbaan di Le Mans, semalam.

Khairul cemerlang raih podium CEV Repsol di Le Mans

KUALA LUMPUR: Penunggang muda negara, Khairul Idham Pawi mencatat kejayaan manis apabila berjaya meraih podium pada perlumbaan pusingan dua Kejuaraan Moto3 CEV Repsol di Le Mans, Perancis, semalam.

Bermula di petak ke-10, pelumba Honda Team Asia berusia 16 tahun itu memperaga aksi cukup bertenaga apabila menamatkan 12 pusingan perlumbaan sebagai naib juara dengan masa 21 minit 06.201 saat.

Juara menjadi milik Aron Canet dari Sepanyol yang menamatkan perlumbaan dengan masa 21'20.520s manakala tempat ketiga dimenangi Bo Bendsyneyder dari Belanda dengan masa 21'06.365s.

Perlumbaan yang sepatutnya berlangsung sebanyak 17 pusingan dipendekkan kepada 12 pusingan apabila perlumbaan asal diberhentikan selepas bendera merah dikibarkan akibat insiden membabitkan pelumba Itali, Arbolino.

Kemenangan di Perancis meletakkan Khairul sebagai pelumba Malaysia kedua yang berjaya menamatkan perlumbaan di atas podium Kejuaraan CEV Repsol selain Hafizh Syahrin Abdullah yang kini beraksi di pentas Moto2 Kejuaraan Grand Prix Dunia.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini terutama setelah sekadar bermula dari barisan ketiga. Saya terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kedudukan yang baik.

"Malah cabaran lebih sengit pada pusingan terakhir kerana terpaksa bersaing sengit dengan Sena Yamada dan Bo untuk berada di kedudukan kedua. Saya rasa ia akan menjadi pertarungan yang akan dikenang sampai bila-bila," kata Khairul.

"Saya berterima kasih kepada pasukan Honda Team Asia kerana menyediakan jentera yang baik, keluarga yang sentiasa memberi kepercayaan kepada saya dan juga penyokong-penyokong di Malaysia," kata pelumba yang turut beraksi bersama pasukan Kozi Yam Honda Racing di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS itu lagi.

Kedudukan podium Kejuaraan Moto3 CEV Repsol di Le Mans

1. Aron Canet (SPA) 21'05.594s

2. Khairul Idham Pawi (MAS) 21'06.201s

3. Bo Bendsyneyder (NED) 21'06.365s

Berita Harian X