Selasa, 5 Mei 2015 | 10:15pm

Chong Wei layak, tapi usah ketepikan Wei Feng, Zulfadli

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto BERNAMA
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei layak beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia 2015 Ogos ini, tetapi penyertaannya perlu mengikut peraturan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata pemilihan Chong Wei itu perlu dibuat tanpa mengetepikan dua lagi calon iaitu Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkifli yang layak berdasarkan ranking ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

BWF menetapkan setiap negara dibenarkan menghantar dua pemain terbaik dalam ranking dunia untuk menyertai kejohanan itu.

"Kita tahu Chong Wei memang layak dan adalah pemain terbaik negara. Tapi kita perlu ikut peraturan.

"Saya hendak tengok dia beraksi. Tapi saya harap ia melalui laluan 'wild card' supaya adil bagi Wei Feng dan Zulfadhli," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kerjasama antara Fitness First Malaysia dan Fit Malaysia di Kelab Fitness First di The Gardens, Midvalley di sini hari ini.

Berdasarkan ranking terkini BWF, Wei Feng berada pada kedudukan ke-31, Zulfadhli ke-41 manakala Chong Wei ke-45.

Dalam pada itu, Khairy berkata BWF tahu Chong Wei mempunyai rekod baik dalam sukan badminton dunia termasuk pernah muncul pemain nombor satu dunia serta naib juara kejohanan Terbuka Dunia itu.

"Tidak mustahil Chong Wei untuk mendapatkan wild card. Lin Dan pun sudah banyak kali dapat wild card untuk kejohanan itu," katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan sekiranya Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) memberikan 'wild card' kepada Chong Wei, BAM boleh menyenaraikan Wei Feng dan Zulfadli pada kejohanan dunia itu nanti.

Namun menurut laporan itu, pihak PBSI berkata mereka perlu berbincang dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan BAM juga perlu berbincang dengan badan induk dunia itu sekiranya mahu PBSI memberikan 'wild card' kepada bekas pemain nombor satu dunia itu.

BAM perlu menghantar senarai nama pemain ke Kejohanan Dunia itu sebelum 14 Mei.

Sementara itu, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata pihaknya masih menunggu keputusan BWF mengenai tiket 'wild card' berkenaan.

"BWF dijangka mengumumkannya pada Khamis atau Jumaat. Kami akan menangani isu ini berdasarkan keputusan itu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X