X
Selasa, 5 Mei 2015 | 6:47pm

Lelaki, wanita Singapura kuasai Masters Terbuka Malaysia

PETALING JAYA: Pemain pelapis Singapura menguasai Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia edisi ke-38 apabila menjuarai kategori terbuka Masters Remaja lelaki dan wanita di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini hari ini.

Kuek Qi En meraih tempat pertama kategori lelaki selepas mengumpul 2,363 jatuhan pin menewaskan rakan sepasukan Darren Wong yang meraih 189 jatuhan pin manakala Charlene Lim juara kategori wanita selepas menewaskan dua pemain Malaysia.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, ia adalah yang pertama bagi saya. Ini kejohanan ketiga saya sertai sejak 2013 dan hari ini adalah pencapaian terbaik saya...saya menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Terbuka Thailand pada Mac," kata Kuek yang berusia 18 tahun.

Muhammad Firdaus Idris dari Wilayah Persekutuan meraih tempat ketiga mengumpul 2,133 jatuhan pin selepas 10 perlawanan.

Bagi kategori wanita, atlet Singapura Charlene Lim dinobatkan sebagai pemenang selepas menewaskan dua pemain tempatan. Charlene, 16, merekodkan 2,121 jatuhan pin menewaskan pemain pelapis negara, Nur Amirah Auni Azim dan Nur Ameerahusna Azne dari Kedah menduduki tempat kedua dan ketiga yang masing-masing mengumpulkan 2,112 dan 2,094 jatuhan pin.

"Permulaan perlawanan tidak berapa baik, saya tidak jangka menang kerana berdasarkan sepanjang tiga tahun lalu. Saya...layak pusingan akhir dua kali dan saya menduduki tempat ketujuh tahun lalu," kata Charlene. - BERNAMA

Berita Harian X