Jumaat, 17 April 2015 | 8:57am
PEMAIN Napoli, Manolo Gabbiadini (kanan) menanduk bola membolosi gawang Vfl Wolfsburg untuk gol keempat pasukannya pada perlawanan suku akhir pertama Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto AP
PEMAIN Napoli, Manolo Gabbiadini (kanan) menanduk bola membolosi gawang Vfl Wolfsburg untuk gol keempat pasukannya pada perlawanan suku akhir pertama Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto AP

Liga Europa: Napoli belasah Wolfsburg 4-1

PARIS: Rafa Benitez terus menampilkan magis di pentas Eropah ketika kelab bimbingannya, Napoli membelasah wakil Jerman, VfL Wolfsburg 4-1 pada perlawanan suku akhir pertama Liga Europa, awal pagi tadi.

Kapten Napoli, Marek Hamsik menjaringkan dua gol di antara jaringan penyerang, Gonzalo Higuain dengan Manolo Gabbiadini melengkapkan jumlah empat gol buat kelab Itali itu di laman lawan, Volkswagen Arena.

Gol tunggal Wolfsburg dijaringkan bekas pemain Arsenal, Nicklas Bendtner.

Tampil cemerlang dalam kempen Eropah, Benitez yang menyambut hari lahir ke-55, semalam begitupun berdepan tekanan di saingan domestik Serie A apabila sekadar mencatat dua kemenangan daripada lapan perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan mereka kini ketinggalan tujuh mata dari kedudukan ketiga liga yang juga tiket terakhir ke Liga Juara-Juara Eropah, musim depan dan menjuarai Liga Europa sebagai jalan terbaik buat Napoli untuk beraksi di saingan elit liga itu.

Benitez sebelum ini pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, Piala EUFA, Piala Europa dan beberapa lagi kejuaraan di pentas Eropah selaku pengurus di Valencia, Liverpool dan Chelsea.

Dalam pada itu, penyandang juara Sevilla perlu berterima kasih kepada dua pemain gantiannya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan kelab Russia, Zenit St Petersburg 2-1 di Ramon Sanchez Pizjuan.

Pelawat yang dilatih Andre Villas-Boas berjaya mendahului pada minit ke-29 menerusi jaringan menarik Aleksandr Ryazantsev.

Kekal tanpa jaringan berakhir babak pertama, Sevilla menyamakan kedudukan pada minit ke-73 menerusi jaringan Carlos Bacca sebelum gol kemenangan dijaringkan pemain pinjaman Barcelona, Denis Suarez dua minit sebelum permainan berakhir.

"Saya tidak bermain dalam tempoh agak lama dan terdesak untuk meraih peluang yang saya miliki ini," kata Suarez kepada stesen televisyen Sepanyol, Cuatro.

Di Belgium, Club Brugge kekal menjadi pasukan tunggal yang tidak pernah mencatat sebarang kekalahan dalam kempen Liga Europa, musim ini selepas diikat kelab Ukraine, Dnipro 0-0.

Satu lagi kelab Ukraine yang juga pendahulu liga negara itu, Dynamo Kiev mengharungi nasib sama apabila seri 1-1 di laman sendiri bertemu kelab Itali, Fiorentina.

Pemain antarabangsa Belanda, Jeremain Lens meletakkan tuan rumah di depan namun penyerang Senegal, Khouma Boubacar menyamakan kedudukan menerusi satu cubaan cantik untuk memberikan kelab jolokan La Viola bekalan gol di tempat lawan mengharungi timbal balil. - AFP

Berita Harian X