Rabu, 15 April 2015 | 11:05am

Suarez, Miranda kritik pengadil Serbia

PENGADIL dari Serbia, Milorad Mazic melayangkan kad kuning kepada pemain Atletico, Mario Suarez pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid, awal pagi tadi. - Foto AP
PENGADIL dari Serbia, Milorad Mazic melayangkan kad kuning kepada pemain Atletico, Mario Suarez pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid, awal pagi tadi. - Foto AP

MADRID: Tindakan dua pemain Atletico Madrid, Mario Suarez dan Miranda yang menghambur kritikan kontroversi terhadap pengadil dari Serbia, Milorad Mazic mungkin membawa padah.

Suarez mengkritik kualiti pengadilan Mazic selepas perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid, awal pagi tadi yang berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Pemain berusia 28 tahun itu sudah pun dilayangkan kad kuning dan terlepas perlawanan timbal balik, minggu depan di Bernabeu akibat penggantungan.

Begitupun, hukuman yang akan dikenakan terhadapnya mungkin bertambah selepas dakwaannya mengatakan badan induk bola sepak Eropah, UEFA tidak sepatutnya membiarkan pengadil dari Serbia mengendalikan perlawanan penting seperti itu.

"Pengadilnya amat buruk. Kamu tidak boleh membenarkan rakyat Serbia untuk mengendalikan perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, ia tidak diambil dengan cukup serius," kata Suarez.

"Saya berharap pada perlawanan kedua nanti pengadil akan menjadi lebih baik, fleksibel dengan keputusan yang normal.

"Pengadil tidak berada pada tahap itu namun mereka melakukan kesilapan seperti kita lakukan. Permainan agak seimbang, kami tahu satu sama lain dan peluang masih terbuka."

Selepas mengeluarkan komen itu, Suarez kemudian cuba untuk menjelaskan maksud komennya di dalam media sosial, Twitter.

"Saya ingin meminta maaf jika ada sesiapa terasa dengan kenyataan saya selepas perlawanan itu, ia bukanlah niat saya," katanya.

"Apa yang ingin saya katakan ialah pada perlawanan seperti ini, kamu perlu menugaskan pengadil daripada liga ternama," katanya.

Tindakannya itu kemudian disokong oleh rakan sepasukannya yang juga pemain kelahiran Brazil, Miranda.

"Saya tidak mahu bercakap mengenainya (pengadil) namun saya fikir pengadil daripada liga bawahan tidak sepatutnya mengendalikan perlawanan seperti ini."

Selain itu, pemain Real, Dani Carvajal juga dikatakan bakal berdepan tindakan UEFA selepas dikatakan menumbuk penyerang Atletico, Mario Mandzukic selain didakwa menggigit pemain Croatia itu pada babak kedua.

"Selepas perlawanan saya dituduh menggigit pemain lawan dan saya mahu menjelaskannya yang saya tidak menggigit sesiapapun, atau cuba melakukannya," kata Carvajal dalam laman Twitternya. - AFP

Berita Harian X