Ahad, 12 April 2015 | 4:53pm
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger. - Foto AFP
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger. - Foto AFP

Hanya 'rentak sempurna' mampu bawa Arsenal juarai liga - Wenger

BURNLEY: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, menganggap pasukannya itu memerlukan 'rentak sempurna' sebagai satu-satunya peluang untuk mencabar pendahulu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini, Chelsea.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Burnley menerusi jaringan tunggal Aaron Ramsey pada minit ke-12 ketika aksi di tempat lawan, yang berlangsung awal pagi tadi, membolehkan Arsenal meraih lapan kemenangan berturut-turut dalam liga buat kali pertama sejak musim cemerlang 2003/04.

Arsenal kini di tangga kedua liga dengan 66 mata selepas 32 perlawanan, empat mata di belakang Chelsea, yang kurang dua perlawanan berbanding mereka dan bakal turun bertemu QPR, malam ini.

"Kami perlu meneruskan rentak sempurna dan kami berharap Chelsea gagal meneruskan rentak sempurna mereka. Tapi masalahnya, kami tidak mampu mengawal apa yang mereka lakukan, kami hanya boleh mengawal kedudukan kami sendiri.

"Kami mahu meneruskan rentak kemenangan ini kerana di belakang kami Manchester United dan Manchester City sedia untuk memintas. Jadi, kami perlu fokus untuk perlawanan seterusnya dan memberikan segala-galanya untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik," kata Wenger. - AFP

Berita Harian X