Jumaat, 20 March 2015 | 1:08pm

Liga Europa: Kiev leburkan impian wakil kelab Inggeris

PEMAIN Dynamo Kiev meraikan gol yang dijaringkan, semasa Liga Europa, di Ukraine, awal pagi tadi. - Foto AP
PEMAIN Dynamo Kiev meraikan gol yang dijaringkan, semasa Liga Europa, di Ukraine, awal pagi tadi. - Foto AP

PARIS: Dynamo Kiev memusnahkan satu-satunya harapan wakil Inggeris, Everton untuk melangkah ke peringkat seterusnya selepas membelasah kelab itu 5-2 dalam perlawanan kedua peringkat 16 terakhir Liga Europa, awal pagi tadi.

Selepas Arsenal dan Manchester City disingkirkan daripada Liga Juara-Juara minggu ini, Everton berkunjung untuk perlawanan kedua di Kiev, Ukraine sebagai satu-satunya kelab Inggeris yang masih berada dalam kancah liga Eropah musim ini.

Ternyata nasib tidak menyebelahi pasukan dibimbing Roberto Martinez itu selepas gagal mengekalkan kemenangan pada aksi pertama sebelum ini, tewas dengan agregat 6-4 ke atas Dynamo Kiev.

Sementara, wakil kelab Itali, Fiorentina dan Napoli gah ke perlawanan seterusnya selepas menewaskan lawan masing-masing, biarpun AS Roma, Torino dan Inter Milan terkandas di tengah jalan.

Kelab Belgium, Club Brugge menempah laluan selesa memenuhi slot lapan pasukan terakhir, selepas menundukkan kelab Turki, Besiktas, 3-1 di Istanbul.

Gol Brugge disumbangkan De Sutter minit ke-61 dan Bolingoli-Mbombo, pada minit 80 dan minit 90 sekali gus mengesahkan kemenangan dengan agregat 5-2.

Ajax, yang menang 2-1 ke atas satu lagi kelab Ukraine, Dnipro Dnipropetrovsk hasil jaringan pemain pertahanannya, Van Der Hoorn pada minit-minit akhir masa tambahan, gagal ke suku akhir.

Dnipro Dnipropetrovsk layak ke perlawanan seterusnya selepas menang berdasarkan gol di tempat lawan di Amsterdam awal pagi tadi dengan agregat 2-2. -AFP

Berita Harian X