Jumaat, 13 March 2015 | 7:28am
PENYERANG Sevilla, Kevin Gameiro (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi bertemu Villareal di Stadium El Madrigal, Villareal awal pagi tadi. - Foto AFP
PENYERANG Sevilla, Kevin Gameiro (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi bertemu Villareal di Stadium El Madrigal, Villareal awal pagi tadi. - Foto AFP
PENYERANG Everton, Romelu Lukaku (empat dari kiri) mengawal bola di depan pintu gol ketika menentang Dynamo Kiev di Goodison Park, awal pagi tadi. - Foto AFP
PENYERANG Everton, Romelu Lukaku (empat dari kiri) mengawal bola di depan pintu gol ketika menentang Dynamo Kiev di Goodison Park, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Napoli, Gonzalo Higuain (kanan) menjaringkan gol ketika menentang Dinamo Moscow di Stadium San Paolo dekat Naples, Itali, awal pagi tadi. Napoli menang 3-1. - Foto EPA
PEMAIN Napoli, Gonzalo Higuain (kanan) menjaringkan gol ketika menentang Dinamo Moscow di Stadium San Paolo dekat Naples, Itali, awal pagi tadi. Napoli menang 3-1. - Foto EPA

Liga Europa: Gol terpantas Sevilla, Everton cemerlang, Inter kecundang

PARIS: Penyandang gelaran, Sevilla meraih gol terpantas pada hanya 13 saat permainan manakala Everton dan Wolfsburg cemerlang pada aksi peringkat pertama 16 terakhir saingan Liga Europa, awal pagi tadi.

Sevilla melepasi halangan apabila berdepan rakan senegara apabila menang 3-1 ke atas Villarreal, dengan Victor Machin 'Vitolo melakar rekod pertandingan dengan gol pembukaan pantas.

Di Goodison Park menyaksikan penyerang Everton, Romelu Lukaku memberikan kelab Liga Perdana Inggeris itu sedikit kelebihan ketika menentang Dynamo Kiev apabila sepakan penaltinya menjamin kemenangan 2-1.

Anak didik Roberto Martinez ketinggalan pada minit ke-14 apabila Oleg Gusev meletakkan pelawat di depan tetapi berjaya menyamakan kedudukan enam minit sebelum wisel separuh masa pertama apabila sentuhan Lukaku mencipta peluang untuk penyerang Steven Naismith menjaringkan gol.

Skuad Toffees, sekali lagi mempamerkan persembahan lebih baik di pentas Eropah berbanding kempen tempatan, bekerja keras untuk mencari gol pada babak kedua dan akhirnya memecahkan kebuntuan dengan merobek pertahanan Dynamo pada minit ke-82.

Pengadil Carlos Velasco Carballo menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Danilo Silva dan Lukaku menyempurnakannya sekali gus menjadi penjaring terbanyak Everton di pentas Eropah dengan tujuh gol.

Skuad bimbingan Martinez akan bertandang ke Ukraine minggu depan untuk saingan peringkat kedua di Kiev sambil menyedari mereka masih mempunyai peluang bagi mara ke suku akhir sebagai kelab England tunggal dalam kejohanan berkenaan.

"Kami sedar apabila kami dapat rentak dalam permainan dan apabila kami gunakan kemahiran, kami adalah pasukan yang amat kuat," kata Martinez.

"Secara keseluruhan, ia adalah prestasi terbaik dan reaksi menunjukkan kami adalah pasukan yang amat baik.

"Kami bukan pasukan pilihan walaupun selalunya pasukan tuan rumah ada sedikit kelebihan. Sekarang kami perlu berdepan peringkat kedua dan setakat ini, kami bermain cemerlang di Eropah."

Di Naples, hatrik Gonzalo Higuain mencetuskan inspirasi buat kelab Napoli bimbingan Rafael Benitez apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas Dinamo Moscow.

"Ini adalah perlawanan yang sukar terutama selepas gol mereka. Syukur kami menang dan akan berlepas ke Russia dengan kelebihan memuaskan. Kami akan ditentang habis-habisan, tapi Napoli boleh layak," kata Higuain.

Selain itu, saingan membabitkan kelab Serie A di antara Fiorentina dan Roma berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa dua lagi kelab Itali apabila juara tiga kali, Inter Milan kecundang 3-1 kepada Vfl Wolfsburg manakala Torino pula tewas 2-0 di Zenit St Petersburg.

Selain itu, juara Belanda, Ajax kalah 1-0 kepada Dnipro Dnipropetrovsk selepas kelab Ukraine terbabit meraih gol tunggal perlawanan menerusi Roman Zozulya pada perlawanan di Kiev.

Sementara itu, di Belgium, Club Brugge mengatasi Besiktas dari Turki dengan 2-1. - AFP

Berita Harian X