Sabtu, 7 March 2015 | 10:00am

Man United, Arsenal pilihan Piala FA; peluang Liverpool seimbang

DARI kiri; Wayne Rooney, Daniel Sturiddge dan Olivier Giroud.
DARI kiri; Wayne Rooney, Daniel Sturiddge dan Olivier Giroud.

SUKU akhir Piala FA dan keunikannya berterusan pada minggu ini.

Manchester United dan Arsenal tidak dinafikan boleh dilabel pasukan pilihan namun, menyedihkan satu daripada mereka akan tersingkir Isnin ini.

Ini boleh dilihat sebagai satu peluang keemasan untuk Liverpool tampil mengaut satu piala bagi musim ini selepas perit tersingkir daripada saingan Piala Liga Capital One, Liga Juara Juara. Tambahan, peluang anak didik Brendan Rodgers menjuarai Liga Perdana Inggeris sudah hampir tertutup.

Liverpool akan menerima kunjungan Blackburn Rovers pada lewat malam Ahad waktu tempatan dan saya melihat prestasi mereka cukup baik untuk meneruskan perjalanan ke separuh akhir.

Philippe Coutinho menjadi kunci paling penting dalam perlawanan ini kerana saya pasti Gary Bowyer akan memastikan bahagian pertahanan dan tengah dapat mengunci pergerakan pemain Brazil ini. Ini harus memberikan banyak ruang kepada Raheem Sterling, Daniel Sturiddge, Adam Lallana serta rakan yang lain.

Pertukaran posisi Coutinho ke posisi "No 10" dan kembalinya Sterling ke bahagian sayap sedang memberi impak positif yang besar di bahagian serangan.

Cara tekanan tanpa bola yang diterapkan Rodgers adalah bijak dan bersesuaian dengan karakter serta kebolehan yang ada di bawah kendaliannya.

Saya dapat melihat senyuman Jordan Henderson yang sedang bermain pada prestasi kemuncak kerana formasi 3-4-3 dan falsafah yang diterapkan begitu bersesuaian dengan pemain ini. Secara keseluruhan saya melihat pasukan Liverpool pada moral yang tinggi memasuki perlawanan ini.

Gary Bowyer akan cuba menyekat serangan Liverpool dengan falsafah bertahan dan akan cuba menyerang menggunakan serangan gerak balas. Tetapi saya pasti Liverpool cukup baik untuk memenangi pertarungan ini.

Arsenal akan bertandang ke Old Trafford selepas mengharungi dua kemenangan berturut turut menentang Everton dan Queens Park Rangers tetapi masih sedang bergelut dengan mimpi seram yang berlaku di Emirates ketika menentang Monaco pada Liga Juara juara.

Arsene Wenger akan mengharapkan prestasi Olivier Giroud kekal seperti dua perlawanan sebelum ini tetapi banyak akan bergantung ke atas kebijaksanaan Santi Cazorla seperti mana Louis Van Gaal akan menaruh harapan ke atas Wayne Rooney untuk memastikan kemenangan milik Man United.

Satu perlawanan yang sangat sukar untuk diramal tetapi saya berani mengatakan perlawanan ini sedikit menyebelahi pasukan Arsenal.

RAMALAN PIALA FA STANLEY

Bradford...................... 2 Reading.............1

Aston Villa.................. 0 West Brom.........1

Liverpool ....................2 Blackburn...........1

Manchester United..... 2 Arsenal..............3

(NOTA: Penulis tamu BH Online adalah bekas pemain kebangsaan, termasuk beraksi dalam dua perlawanan menentang Manchester United.

Selain beraksi untuk Kuala Lumpur dalam Liga Malaysia, Stanley juga beraksi dalam liga di India dan Indonesia. Ketika ini dia adalah pengulas bola sepak di stesen televisyen ASTRO Supersports dan Arena)

Berita Harian X