Sabtu, 28 Februari 2015 | 10:15pm

Diaz bakal pindah ke kelab Brazil - Tunku Ismail

PEMAIN import pasukan JDT, Jorge Pereyra Diaz. - Foto Osman Adnan
PEMAIN import pasukan JDT, Jorge Pereyra Diaz. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemain import pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz bakal meninggalkan skuad Harimau Selatan bagi menyertai sebuah kelab bola sepak di Brazil yang berminat untuk membeli pemain kelahiran Argentina itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata JDT berjaya mendapatkan khidmat pemain dari Argentina, Patricio Rodriguez, 24 yang kini beraksi bersama kelab Brazil, Santos FC secara pinjaman bagi menggantikan tempat Diaz.

Baginda yakin kehadiran Patoricio mampu memperkuatkan cabaran skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Saya sangat kagum dengan mutu dan corak permainan dimilikinya dan memerhatikan beliau sejak tahun 2013 ketika semasa bermain bersama-sama (pemain antarabangsa Brazil), Neymar," kata Tunku Ismail menerusi Facebook rasmi pasukan JDT; Johor Southern Tigers, hari ini.

"Saya juga turut merasa bangga kerana kini dia akan menjadi aset pasukan JDT meskipun tempoh diberikan hanyalah berdasarkan pinjaman. Kami berharap akan dapat membeli pemain ini sepenuhnya selepas November 2015 kelak," jelas baginda.

Tunku Ismail berkata pemain muda Argentina itu dijadualkan tiba di Johor pada 14 Mac ini sambil menyatakan ada kejutan apabila jendela perpindahan pemain bagi peringkat kedua dibuka pada April ini.

"Ini adalah salah satu strategi pemasaran JDT dengan mengambil pemain muda bertaraf antarabangsa dan berharap dapat memberi sumbangan kepada kelab JDT dan semoga tawaran untuk pemain itu sendiri akan bertambah apabila berhijrah suatu hari nanti ke pasukan bola sepak tanah air," kata baginda.

Untuk rekod, Diaz yang pernah beraksi bersama kelab Lanus di Argentina menyertai pasukan JDT pada 2014. - BERNAMA

Berita Harian X