Jumaat, 27 Februari 2015 | 3:50pm

Liga Europa: Everton kibar bendera Britain, undian hari ini

Pemain Everton, Romelu Lukaku meraikan jaringannya pada perlawanan Liga Europa menentang Young Boys Bern di Goodison Park, Liverpool, awal pagi tadi. - Foto EPA
Pemain Everton, Romelu Lukaku meraikan jaringannya pada perlawanan Liga Europa menentang Young Boys Bern di Goodison Park, Liverpool, awal pagi tadi. - Foto EPA

LONDON: Everton kekal pasukan tunggal dari Britain untuk memburu kemasyhuran dalam kancah Liga Europa, musim ini.

Kelab dari Merseyside itu terus mengibar bendera selepas Liverpool, Tottenham dan Celtic semuanya tersingkir daripada kejohanan selepas perlawanan kedua, saingan 32 terakhir, pagi ini.

Undian untuk perlawanan 16 terakhir akan dibuat di Nyon, Switzerland, hari ini.

Selain Everton pasukan lain yang layak adalah Ajax Amsterdam, Besiktas, Club Bruges Dinamo Moscow, Dnipro Dnipropetrovsk, Dynamo Kiev, Fiorentina, Inter Milan, Napoli, AS Roma, Sevilla, Torino, Villarreal, VfL Wolfsburg dan Zenit St Petersburg.

Everton menewaskan Young Boys dari Switzerland 3-1 untuk layak ke pusingan ke-16 terakhir dengan agregat 7-2 di Goodson Park, awal pagi tadi.

Dua gol daripada Romelu Lukaku pada minit ke-25 dan 30 menjadikan jumlah lima bagi penyerang dari Belgium itu dalam perlawanan timbal balik ini manakala satu lagi sumbangan Kevin Mirallas pada minit ke-42.

Sekou Sanogo memberi gol pendahuluan untuk pelawat pada minit ke-13. - AFP

Berita Harian X