Jumaat, 27 Februari 2015 | 7:38am

Liga Europa: Liverpool tersingkir, lima kelab Itali mara

PENYERANG Besiktas, Demba Ba (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas memberi kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti ketika bertemu Liverpool, pada aksi kedua, pusingan 32 terakhir saingan Liga Europa awal pagi tadi. - Foto REUTERS

PARIS: Kelab Turki, Besiktas mengakhiri perjalanan juara Eropah lima kali, Liverpool dalam saingan Liga Europa hasil kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti, awal pagi tadi ketika penyandang juara, Sevilla, mara.

Beraksi di laman lawan, Stadium Olimpik Ataturk, Besiktas yang ketinggalan secara agregat selepas tewas 1-0 di Anfield menyamakan kedudukan menerusi jaringan Arslan pada minit ke-72 yang mengheret Liverpool ke penentuan penalti selepas kedudukan agregat terikat 1-1.

Ketika penentuan penalti, Arslan sekali lagi muncul wira buat tuan rumah apabila penaltinya mudah menerjah gawang The Reds ketika Dejan Lovren sekadar melihat cubaannya melepasi palang gol.

Dengan jadual pertemuan sukar menentang Manchester City dalam kempen Liga Perdana Inggeris, Ahad ini, ia pasti menjadi igauan ngeri buat pengendali Liverpool, Brendan Rogers.

Bukan saja anak buahnya terpaksa beraksi 120 minit di Istanbul, mental pemain Liverpool pastinya tidak stabil dengan penyingkiran itu selain kepenatan kerana akan melakukan perjalanan jauh dari Turki.

PENYERANG Fiorentina, Mario Gomez (tengah) merembat lalu membolosi gawang Tottenham Hotspur untuk gol pertama pasukannya pada aksi kedua, pusingan 32 terakhir saingan Liga Europa, di Florence, Itali awal pagi tadi. - Foto EPA

Mengikuti jejak Liverpool turut tersingkir ialah satu lagi kelab Inggeris, Tottenham Hotspurs yang tewas 2-0 kepada Fiorentina di laman lawan.

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino membuat pertaruhan besar dengan merehatkan beberapa pemain utamanya pada perlawanan itu termasuk penyerang Harry Kane sebagai persediaan menghadapi Chelsea bagi aksi final Piala Liga, pada Ahad.

Gol Fiorentina dijaringkan Mario Gomez dan Mohamed Salah untuk mara dengan keputusan agregat 3-1.

Satu-satunya kelab Inggeris yang mara ke peringkat 16 terakhir ialah musuh tetangga Liverpool, Everton yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab Switzerland, Young Boys 3-1.

PEMAIN Everton, Romelu Lukaku (tengah) cuba disekat pemain Young Boys pada pada aksi kedua, pusingan 32 terakhir saingan Liga Europa, di Merseyside, England awal pagi tadi. - Foto REUTERS
PEMAIN Everton, Romelu Lukaku (tengah) cuba disekat pemain Young Boys pada pada aksi kedua, pusingan 32 terakhir saingan Liga Europa, di Merseyside, England awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Selepas kemenangan besar 4-1 pada aksi pertama di Switzerland minggu lepas, penyerang Belgium, Romelu Lukaku terus mengganas dengan menambah dua lagi jaringan di Goodison Park untuk tuan rumah mara dengan agregat besar 7-2.

Dalam pada itu, penyandang juara dari Sepanyol, Sevilla mara namun terpaksa bergelut untuk menang 3-2 menentang wakil Jerman, Borussia Moenchengladbac dan mara dengan agregat 4-2 hasil kemenangan tipis 1-0 di Andalusia.

Dalam pada itu, lima kelab dari Itali turut menempah tiket ke peringkat 16 terakhir menerusi AS Roma, Inter Milan, Napoli, Fiorentina dan Torino.

Roma mara menerusi agregat 3-2 selepas menang 2-1 ke atas Feyenoord dengan perlawanan yang terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali akibat keganasan penonton.

Dalam pada itu, jaringan pada minit akhir Fredy Guarin mengesahkan kemaraan kelab bimbingan Roberto Mancini, Inter dengan kemenangan 1-0 ke atas Celtic dan mara menerusi agregat 4-3. - AFP

Berita Harian X