Isnin, 16 Februari 2015 | 10:38am

Kualiti Giroud bertambah baik bersama Arsenal - Wenger

REAKSI puas penyerang Arsenal, Olivier Giroud (kanan) ketika bersalaman dengan pengurusnya, Arsene Wenger ketika digantikan pada perlawanan pusingan lima Piala FA menentang Middlesbrough, awal pagi tadi. - Foto AFP
REAKSI puas penyerang Arsenal, Olivier Giroud (kanan) ketika bersalaman dengan pengurusnya, Arsene Wenger ketika digantikan pada perlawanan pusingan lima Piala FA menentang Middlesbrough, awal pagi tadi. - Foto AFP

LONDON: Arsene Wenger percaya penyerangnya, Olivier Giroud melalui proses evolusi selepas peledak Perancis itu menjaringkan dua gol ketika Arsenal menewaskan Middlesbrough 2-0 yang membawa penyandang juara Piala FA itu ke suku akhir, awal pagi tadi.

Giroud menjaringkan dua gol berselang tiga minit ketika permainan baharu memasuki minit ke-30 di Emirates dengan Wenger jelas gembira dengan kualiti gol yang dijaringkan pemain senegaranya itu.

Gol pertama hadir pada minit ke-27 menerusi gerakan yang membabitkan hampir kesemua kesebelasan utama Gunners sebelum Giroud menyempurnakan peluang hasil sepakan sudut pantas yang diambil Alexis Sanchez.

"Saya percaya Giroud adalah pemain yang berbeza daripada lelaki yang tiba ke sini dulu," kata Wenger yang memuji sentuhan penyudah penyerang yang dibawa masuk ke Emirates pada 2012 itu.

"Dia sedar apa yang dimahukan permainan bola sepak di tahap tertinggi, kerja dengan penumpuan yang hebat ketika sesi latihan, meningkatkan pergerakan dan kualiti teknikalnya.

"Sudah tentu badannya amat kuat dan dia menggunakannya dengan amat baik," kata Wenger.

Selain gembira dengan persembahan positif yang dipamerkan Arsenal, Wenger turut memuji prestasi yang ditampilkan pertahanan baharu kelab itu, Gabriel Paulista.

"Sesuatu yang menarik untuk memerhatikan Gabriel hari ini," kata Wenger. "Dia benar-benar mahukan penampilan pertamanya di Piala FA berakhir dengan kemenangan. Dia mempamerkan kualiti, tumpuan yang hebat, bertahan dengan cemerlang, terutama terjahan yang dilakukannya dalam kotak penalti.

"Dia bermain seperti memiliki brek tangan kerana dia tidak mahu melakukan kesilapan. Daripada apa yang saya lihat, banyak lagi yang kita akan lihat darinya," katanya. - AFP

Berita Harian X