Jumaat, 6 Februari 2015 | 8:25pm

ACC 2015: Fadhil gah menang emas ujian masa individu

KUALA LUMPUR: Mohd Fadhil Mohd Zonis mencetus ceria kem Malaysia apabila berjaya memenangi pingat emas acara 1 kilometer ujian masa individu di Kejohanan Lumba Basikal Asia di Korat, Thailand, hari ini.

Mohd Fadhil mencatat 1 minit 6.76 saat untuk memadamkan rekod ciptaan jaguh trek negara, Azizulhasni Awang pada ACC 2006 di Kuala Lumpur (1:06.996s).

Sementara itu, perak menjadi milik pelumba Taiwan, Lin Chin-yi (1:07.457s) manakala gangsa diperoleh Jun Minami dari Jepun (1:07.530s).

"Alhamdulillah, emas untuk Malaysia dalam acara 1km dan memecah rekod remaja kebangsaan untuk acara trek terbuka. (Pingat) emas ini hadiah hari lahir ayah saya dan untuk jurulatih saya," katanya dalam Facebooknya.

Mohd Fadhil, 17, adalah adik kepada Mohd Firdaus Mohd Zonis yang kini bersaing dalam kategori elit selepas beraksi cemerlang memenangi tiga pingat emas pada ACC 2014 dan 2013.

Semalam, Azizulhasni memenangi emas dalam acara keirin.

Berita Harian X