Khamis, 29 Januari 2015 | 10:36am

Gantung dua perlawanan untuk Ronaldo

REAKSI penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo selepas diarah keluar padang oleh pengadil ketika perlawanan La Liga menentang Cordoba di Nuevo Arcangel. - Foto EPA
REAKSI penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo selepas diarah keluar padang oleh pengadil ketika perlawanan La Liga menentang Cordoba di Nuevo Arcangel. - Foto EPA

MADRID: Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo digantung dua perlawanan atas kesalahan kad merah kerana menyepak pertahanan Cordoba, Edimar ketika kemenangan 2-1 Real Madrid dalam aksi La Liga, Sabtu lepas.

Penggantungan menyaksikan bintang kelahiran Sepanyol itu terlepas perlawanan di laman sendiri menentang Real Sociedad dan Sevilla, minggu depan namun masih boleh diturunkan ketika bertemu juara Sepanyol, Atletico Madrid pada 7 Februari.

Real ketika ini mengungguli carta La Liga dengan kelebihan satu mata di depan Barcelona namun masih memiliki kelebihan kurang satu perlawanan.

Januari dianggap bulan penuh emosi buat, Ronaldo selepas penyerang bintang itu memenangi anugerah Ballon d'Or ketiga di Zurich, Switzerland namun pada masa sama berpisah dengan teman wanitanya yang juga super model, Irina Shayk.

Emosinya jelas terganggu di atas padang dan kekecewaan itu dilepaskan dengan menendang pertahanan kelahiran Brazil, Edimar ketika perlawanan masih di kedudukan 1-1 yang sekaligus mengumpul kad merah kesembilan sepanjang kariernya.

Bintang Wales, Gareth Bale menjadi penyelamat Real dengan meledak gol kemenangan ketika permainan berbaki tujuh minit menerusi sepakan penalti.

Bekas penyerang Manchester United, Ronaldo juga boleh berdepan hukuman lebih berat kerana turut dilihat mengasari seorang lagi pemain Cordoba, Jose Crespo sebelum dikenakan kad merah.

Malah selepas kemenangan Real, dia kemudian seakan cuba membangkitkan kemarahan penyokong Cordoba dengan menunjukkan logo kelab gergasi itu ke arah mereka sebelum beredar.

Begitupun, pemain berusia 29 tahun sudah pun meminta maaf atas tindakannya dalam laman sosial Twitter peribadinya. - AFP

Berita Harian X