KUALA LUMPUR: Kehadiran dan panduan Johan Stigefelt selaku pengurus pasukan SIC Racing diharap mampu mengembalikan gemilang penunggang Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, musim ini.
Beraksi bersama pasukan serba baharu, SIC Racing, Zulfahmi yang mencipta kejutan dengan dua kali menaiki podium kejuaraan pada musim 2012 ketika ini sedang bekerja keras untuk bangkit bersama pasukan baharunya itu.
"Mereka bekerjasama dengan amat baik dan Zulfahmi ketika ini menunjukkan petanda yang amat positif," kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali.
"Sebagai bekas pelumba dan pernah beraksi di tahap tertinggi, Johan memiliki kemahiran dan pengetahuan untuk membantu Fahmi meraih kembali keyakinannya dan hadir sebagai pelumba lebih baik bagi musim baharu."
Dikenali sebagai Stiggy, Stigefelt yang berasal dari Sweden memiliki pengalaman selama 20 tahun selaku pelumba di Kejuaraan Dunia (MotoGP) dan pengurus pasukan.
Memiliki pasukan sendiri pada 2005 di Kejuaraan SuperBike sehingga 2010, Stigefelt kemudian beralih angin menyertai perlumbaan Moto3 di MotoGP yang menyaksikan pelumbanya, Luis Salom menamatkan perlumbaan di kedudukan naib juara keseluruhan.
"Stiggy sudah menunjukkan kemampuannya bersama pasukan Moto2 Caterham. Bukan mudah untuk pasukan baharu mencipta impak namun Stiggy mampu melakukannya bersama Caterham pada 2014.
"Lihat kepada prestasi (Johann) Zarco (pelumba Caterham). Dia sentiasa antara pelumba yang mampu mencabar perlumbaan. Saya yakin Stiggy akan mencipta impak yang sama terhadap Zulfahmi dan Jakub Kornfeil (rakan sepasukan Fahmi) musim ini.
"Saya teruja untuk menantikan pasukan SIC Racing membuat penampilan pertama di Qatar," katanya.
Perlumbaan pembuka musim MotoGP adalah di Grand Prix Qatar pada 29 Mac depan dengan SIC akan menjadi tuan rumah pada pusingan ke-17 pada 23 hingga 25 Oktober.
Tahun lalu, Zulfahmi yang beraksi bersama pasukan Ongetta-AirAsia dan menggunakan jentera Honda menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 keseluruhan.
Bagi musim 2015, Zulfahmi akan menunggang jentera KTM, jentera sama seperti digunakan ketika musim 2012 dan 2013.