Isnin, 5 Januari 2015 | 9:03pm
PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho. - Foto EPA
PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho. - Foto EPA

Mourinho kekal prospek julang empat trofi

LONDON: Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menyifatkan skuadnya mampu mencabar empat kejuaraan trofi selepas kemenangan 3-0 menentang kelab Liga Kejuaraan, Watford pada pusingan tiga Piala FA.

Gol yang terhasil bermula selepas 14 minit babak kedua menerusi Willian, Loic Remy dan Kurt Zouma mengesahkan kemaraan Chelsea ke pusingan empat pada aksi di Stamford Bridge itu, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan itu, Mourinho begitupun terpaksa merehatkan beberapa pemain utamanya selepas jadual padat liga Inggeris menyaksikan kedudukan mereka di puncak liga hampir dicantas pencabar utama, Manchester City.

Masih ada enam perlawanan yang perlu ditempuhi Chelsea sebelum sekurang-kurangnya menjulang trofi Piala FA namun pengurus kelahiran Portugal itu percaya pasukannya mampu menghadapi cabaran terutama dengan bantuan pemain simpanan.

"Saya terpaksa menggunakan beberapa pemain utama saya kerana kami tidak mahu mengabaikan sebarang kejohanan," kata Mourinho.

"Kami mahu bermain dalam setiap kejohanan dan sentiasa cuba untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Kami perlu melakukan apa yang kami lakukan hari ini, membuat beberapa penukaran, mengekalkan beberapa pemain di bangku simpanan.

"Kali ini mereka ialah (Cesc) Fabregas dan (Eden) Hazard saya tidak masukkan. Mungkin dalam perlawanan selepas ini Fabregas dan Eden perlu beraksi bersama, sama seperti perlawanan menentang Derby (Suku akhir Piala Liga), dan meninggalkan pemain lain.

"Namun kami bermain dengan baik. Hari ini saya memberikan rehat yang penuh kepada beberapa pemain. Saya boleh meninggalkan Nemanja Matic dan Branislav Ivanovic di bangku simpanan tanpa bermain."

Sebelum ini, Mourinho merungut betapa jadual padat Liga Inggeris ketika musim cuti mampu menjadi punca penyingkiran beberapa kelab utama di Liga Perdana Inggeris dalam kempen Piala FA. - AFP

Berita Harian X