Khamis, 1 Januari 2015 | 3:25pm
AKSI pemain tengah Manchester City, Frank Lampard ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris. Lampard sah kekal di Etihad sehingga penghujung musim ini. - Foto AFP
AKSI pemain tengah Manchester City, Frank Lampard ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris. Lampard sah kekal di Etihad sehingga penghujung musim ini. - Foto AFP

Lampard kekal di Man City hingga akhir musim

MANCHESTER: Bintang tengah England, Frank Lampard kekal bersama Manchester City sehingga penghujung musim ini, umum juara Liga Perdana Inggeris itu.

"Manchester City mengesahkan sudah melanjutkan kontrak Lampard sehingga penghujung musim, membolehkannya meneruskan kempen di kejuaraan domestik dan Eropah," kata kelab itu menerusi kenyataan dalam laman web pasukan.

Keputusan itu bermakna Lampard boleh diturunkan ketika perlawanan liga menentang Sunderland di Etihad, malam ini.

Lampard, 36 yang pernah menyarung jersi Chelsea menyertai Man City dengan kontrak pinjaman singkat yang dijadualkan berakhir pada tahun baharu ini dan secara rasmi menjadi pemain kelab Liga Amerika Syarikat, New York City FC.

Pengurus City, Manuel Pellegrini tidak lagi berahsia mengenai keinginannya untuk mengekalkan Lampard yang sudah meledakkan enam gol dalam 17 perlawanan di Etihad sekalipun hanya tersenarai tiga kali dalam kesebelasan utama.

Gol yang dilihat paling penting disumbangkannya ialah ketika dia bertemu bekas kelabnya, Chelsea yang menyaksikan perlawanan berakhir 1-1.

Kehadiran semula Lampard pasti penting buat City yang dijangka kehilangan Yaya Toure yang dijadualkan beraksi dalam Piala Negara-Negara Afrika dengan kedua-dua penyerang berbisa, Sergio Aguero dan Edin Dzeko berdepan kecederaan.

Di peringkat Eropah, khidmat Lampard diperlukan terutama City dijadualkan bertemu gergasi Sepanyol, Barcelona dalam peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah pada Februari. - AP

Berita Harian X