Isnin, 29 Disember 2014 | 7:00pm

Zulaikha, Grace sertai program golf LPB-MALGA

SHAH ALAM: Dua pemain golf amatur - Siti Zulaikha Shaari dan Grace Chin - terpilih menyertai Program Anak Angkat kendalian Lifelong Prosperity Berhad (LPB) dan Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) selama setahun bermula tahun depan.

Kelab Golf LPB, dulunya dikenali sebagai Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS), adalah kelab golf tempatan pertama memperkenalkan inisiatif berkenaan dalam usaha memastikan kecemerlangan sukan golf di peringkat akar umbi.

Pengarah Eksekutif MALGA, Datuk Rabe'atul A Abbas berkata menerusi program itu, Siti Zulaikha, 15, dan Grace, 10, boleh menggunakan lapangan serta semua kemudahan di kelab berkenaan secara percuma bagi tujuan latihan.

"LPB mengambil langkah tepat bagi memastikan pemain remaja wanita yang berbakat besar tidak ketinggalan dalam sukan golf. Kami (MALGA dan LPB) memilih Siti Zulaikha yang menunjukkan prestasi konsisten sepanjang empat tahun lalu.

"Grace pula menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan golf amatur tempatan tahun ini," katanya pada sidang media Program Anak Angkat kendalian MALGA dan LPB di Kelab Golf LPB, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Operasi LPB, Dr Ronnie Yeo. -BERNAMA

Berita Harian X