Isnin, 15 Disember 2014 | 6:28pm
PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho ketika mengemudi pasukannya menentang kelab Sporting Lisbon di Stamford Bridge dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, minggu lepas. - Foto AP
PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho ketika mengemudi pasukannya menentang kelab Sporting Lisbon di Stamford Bridge dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, minggu lepas. - Foto AP

Tindakan Chelsea lepaskan Lampard tepat - Mourinho

LONDON: Jose Mourinho berkata dia tidak menyesal melepaskan Frank Lampard sekalipun pemain tengah itu mempamer persembahan menakjubkan bersama Manchester City.

Komen pengurus Chelsea itu terhadap bekas pemain tengah England itu dipetik daripada beberapa akhbar di British, semalam.

Lampard, 36 meninggalkan Chelsea pada Jun selepas menghabiskan tempoh 11 tahun bersama kelab yang merekodkan namanya selaku penjaring terbanyak untuk menyertai kelab Amerika Syarikat, New York City.

Begitupun, Lampard kemudian kembali ke England selepas New York meminjamkannya kepada Manchester City, musim ini.

Bersama City, Lampard sudah meledak enam gol termasuk gol kemenangan ketika menentang Leicester City pada Ahad namun Mourinho berkata dengan mengekalkannya, ia akan menjadi penghalang kepada pembangunan pemain muda di Chelsea.

"Pandangan saya apabila kamu memandang ke depan, lihat kepada masa dengan dan memiliki pemain seperti (Cesc) Fabregas, (Nemanja) Matic dan Jeremie Boga (pemain bawah 21 tahun Chelsea) yang akan berada di kelab untuk tempoh 10 tahun lagi.

"Projek ini adalah sebagai persediaan untuk 10 tahun akan datang, bukan untuk tahun depan. Kami membuat keputusan yang tepat.

"Kamu boleh mempersoalkannya, 'Kamu memiliki John Terry dan Didier Drogba.' Ia berbeza. Drogba adalah penyerang yang datang untuk membantu dan menyokong pasukan.

"John Terry adalah pemain pertahanan tengah terbaik dalam bola sepak Inggeris dan tidak kisah berapa pun usianya. Inti pati pasukan ini adalah untuk berkembang dan memiliki pemain hebat seperti Frank akan menghentikan perkembangan pemain lain.

"Ia adalah hidupnya, tiada kaitan dengan kami. Dia meninggalkan Chelesea sebagai pemain tanpa ejen dan memilih sendiri kehidupannya. Kami tidak boleh merungut mengenainya. Ia adalah bola sepak," katanya Mourinho.

Tempoh pinjaman Lampard di City dijadual berakhir pada penghujung Januari namun pengurusnya, Manuel Pellegrini mendedahkan hasratnya untuk mengekalkannya lebih lama di Etihad.

"Frank mahu kekal, kami mahu mengekalkannya," kata Pellegrini selepas kemenangan 1-0 City di Leicester. "Kami perlu menyelesaikan masalah bersama New York dan MLS (Liga Major)." - AFP

Berita Harian X