Sabtu, 13 Disember 2014 | 9:03am
PENGURUS Manchester City, Manuel Pellegrini mahu melanjutkan tempoh pinjaman Frank Lampard (kanan). - Foto REUTERS
PENGURUS Manchester City, Manuel Pellegrini mahu melanjutkan tempoh pinjaman Frank Lampard (kanan). - Foto REUTERS

Pellegrini mahu Lampard kekal di City

LONDON: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini mahu melanjutkan tempoh pinjaman Frank Lampard dalam usaha kelab itu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Lampard, yang dibebaskan Chelsea pada hujung musim lalu, berjaya memikat Pellegrini selepas pinjaman jangka pendek dari kelab sebumbungnya, New York City.

Tempoh pinjaman Lampard dijadual berakhir pada penghujung Disember ini sebelum pemain tengah berusia 36 itu akan kembali ke New York bagi menjalani latihan pra-musim menghadapi kempen pertama dalam Major League Soccer (MLS).

Namun berdasarkan prestasi Lampard, ia mencerahkan peluangnya untuk memanjangkan kontrak pinjamannya bersama City.

Malah City memerlukannya berikutan rakan pemain tengahnya, Yaya Toure akan beraksi untuk Kejohanan Piala Negara Afrika bermula Januari.

Pellegrini mahu Lampard kekal di City namun pada masa yang sama mempunyai projek lebih besar untuk memastikan kejayaan di MLS, selain menghormati kehendak pemain berkenaan.

"Sebelum Disember, kami perlu membuat keputusan tapi ingin saya ulang, saya fikir Frank adalah pemain yang amat penting bagi kami.

"Saya berharap kami tidak mempunyai masalah supaya dia kekal bersama kami di sini," kata Pellegrini. - AFP

Berita Harian X