Jumaat, 28 November 2014 | 10:21am
PENYERANG VfL Wolfsburg, Vieirinha (kiri) berebut bola dengan penyerang Everton, Kevin Mirallas pada aksi Liga Europa di Wolfsburg awal pagi tadi. - Foto AFP
PENYERANG VfL Wolfsburg, Vieirinha (kiri) berebut bola dengan penyerang Everton, Kevin Mirallas pada aksi Liga Europa di Wolfsburg awal pagi tadi. - Foto AFP

Liga Europa: Tiga pasukan British mara

PARIS: Dua pasukan Liga Perdana Inggeris, Everton dan Tottenham Hotspur mara ke peringkat kalah mati Liga Europa manakala Celtic turut layak walaupun tewas kepada Salzburg.

The Toffees memastikan tempat untuk 32 pasukan terakhir sebagai pemenang Kumpulan H dengan kemenangan bergaya 2-0 ke atas pasukan Bundesliga, VfL Wolfsburg di Jerman.

Tottenham mara dari Kumpulan C selepas kemenangan 1-0 ke atas pendahulu liga Serbia, Partizan Belgrade.

Kekalahan 3-1 kepada Salzburg di Glasgow tidak dapat menghalang Celtic daripada layak dengan berbaki satu perlawanan.

Everton sudah mengetahui ia layak ke peringkat seterusnya ketika perlawanan masih berlangsung apabila satu lagi perlawanan Kumpulan H antara FC Krasnodar dan Lille di Russia berakhir dengan seri 1-1.

Manakala gol oleh dua pemain Belgium, Romelu Lukaku dan Kevin Mirallas memastikan kemenangan the Blues ketika ia melanjutkan rekod tanpa kalah kepada lapan perlawanan dan kedudukan teratas kumpulan.

"Ia adalah persembahan yang sempurna di tempat lawan. Serangan balas kami amat merbahaya dan saya rasa kami hebat," kata pengurus Everton, Roberto Martinez.

Sementara itu, Celtic ketinggalan 2-0 hanya selepas 13 minit kepada pasukan yang sudah layak ke peringkat seterusnya, Salzburg, apabila penyerang dari Brazil, Alan menjaringkan kedua-dua gol itu.

Stefan Johansen kemudian merapatkan jurang apabila menyambut hantaran Emilio Izaguirre tetapi juara Scotland itu gagal mendapatkan gol penyamaan dan tandukan Naby Keita dalam masa tambahan memastikan kemenangan lawan.

Bagaimanapun, kemenangan 1-0 Astra Giurgiu ke atas Dinamo Zagreb memastikan Celtic layak dari Kumpulan D dan perlawanan terakhir di Croatia dalam dua minggu nanti tidak lagi bermakna.

Sementara itu, Dinamo Moscow menewaskan Panathinaikos 2-1 untuk memastikan ia mara sebagai pasukan teratas Kumpulan E.

Dalam kumpulan sama, perlawanan Estoril di tempat sendiri menentang PSV Eindhoven akan disambung esok selepas ditangguhkan pada waktu rehat akibat hujan lebat dengan pasukan Portugal itu mendahului 3-2.

Inter meraih tempat pertama dalam Kumpulan F selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Dnipro 2-1 di San Siro manakala satu lagi pasukan Itali, Napoli mara selepas seri 0-0 Sparta Prague di tempat lawan dalam saingan Kumpulan I.

Feyenoord menewaskan juara bertahan Sevilla 2-0 di Rotterdam untuk mara dari Kumpulan G manakala kemenangan 2-0 Dynamo Kiev di tempat sendiri ke atas Rio Ave memastikan ia layak dari Kumpulan J manakala Trabzonspor mara dari Kumpulan L selepas menewaskan Metalist Kharkiv 3-1 di Turki. - AFP

Berita Harian X