Selasa, 18 November 2014 | 9:48pm

PGM sasar pemain negara layak ke Sukan Olimpik 2016

KUALA LUMPUR: Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) mensasarkan pemain negara layak beraksi di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Presidennya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata bagi mencapai matlamat itu pemain negara perlu meraih kejayaan pada beberapa kejohanan PGM seperti Jelajah Pembangunan Asia PGM, Kejohanan Tertutup PGM, Kejohanan Juara-juara PGM serta Sekolah Kelayakan Pembangunan PGM tahun depan.

Ini dapat membantu mereka layak bertanding pada mana-mana kejohanan Jelajah Asia.

Beliau berkata pemain tempatan mempunyai tempoh kurang setahun bagi mempersiapkan diri dan berada pada ranking sekurang-kurangnya ke-300 dunia sebelum April 2015 untuk menempah tempat ke Sukan Olimpik 2016.

Ahmad Sarji berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kalendar Jelajah PGM 2015 di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara di sini hari ini.

Hanya 60 pemain layak beraksi di temasya Sukan Olimpik.

"Tahun depan adalah tahun paling mencabar kepada pemain untuk layak ke Sukan Olimpik. Mereka boleh menempah tiket ke Olimpik menerusi kejohanan yang diiktiraf seperti dikendalikan oleh Jelajah PGA Amerika Syarikat, Jelajah Eropah dan Jelajah Asia.

"Pemain juga perlu menampilkan prestasi terbaik melalui Jelajah Pembangunan Asia (ADT) yang juga kejohanan mencabar.

"Dalam menyediakan platform kepada pemain tempatan meningkatkan kemahiran menerusi Jelajah ADT, kejohanan itu juga memberi peluang kepada mereka bersaing dalam Sekolah Kelayakan Pembangunan Asia dan lima pemain teratas layak beraksi di Jelajah Asia," katanya.

Ahmad Sarji berkata kejohanan tahun depan akan memberi manfaat kepada pemain profesional negara seperti Nicholas Fung, Mohd Arie Fauzi, Danny Chia, Airil Rizman Zahari, Gavin Kyle Green, Shaaban Hussin, Iain Steel, Khor Kheng-Hwai, Ben Leong dan R Nachimuthu.

Antaranya, beliau berkata Nicholas memiliki peluang untuk memperbaiki ranking yang kini berada pada kedudukan ke-453 dunia. - BERNAMA

Berita Harian X