Rabu, 12 November 2014 | 6:46pm

Beregu badminton wanita paling cemerlang, terima insentif RM27,000

TIMBALAN Ketua Setiausaha Pembangunan, Sektor Pengajian Tinggi (SPT) Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Nasir Mat Dam (kanan) menyampaikan replika cek RM 27000 kepada atlit beregu wanita badminton negara, Vivian Hoo (kiri) sambil diperhatikan Setiausaha Bahagian Sukan, SPT, KPM, Hazally Jali (tengah) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan sukan IPT di Dewan Zaaba, Kementerian Pendidikan, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail.
TIMBALAN Ketua Setiausaha Pembangunan, Sektor Pengajian Tinggi (SPT) Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Nasir Mat Dam (kanan) menyampaikan replika cek RM 27000 kepada atlit beregu wanita badminton negara, Vivian Hoo (kiri) sambil diperhatikan Setiausaha Bahagian Sukan, SPT, KPM, Hazally Jali (tengah) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan sukan IPT di Dewan Zaaba, Kementerian Pendidikan, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail.

PUTRAJAYA: Beregu badminton wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei dinobatkan sebagai atlet paling cemerlang pada Anugerah Kecemerlangan Sukan Kementerian Pendidikan 2013-2014, hari ini.

Vivian dan Woon, masing-masing menerima RM27,000 seorang selepas kejayaan memenangi satu pingat emas pada Sukan SEA 2013 di Myanmar dan dua pingat emas bagi acara beregu dan berpasukan di Sukan Komanwel, Glasgow, Scotland.

Pasangan berkenaan turut meraih gangsa pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Berdasarkan ranking dunia terkini yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Vivian dan Woon kini menduduki ranking ke-21.

Bercakap kepada pemberita, Vivian berkata penerimaan insentif kali ini membakar semangatnya untuk lebih berusaha mendapatkan peluang beraksi di temasya Sukan Olimpik pada 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Terima kasih kepada kementerian atas insentif hari ini, bagi saya ini adalah jumlah insentif paling banyak yang pernah saya terima.

"Selepas ini tanggungjawab lebih besar, saya dan Woon berharap dapat lebih cemerlang pada kejohanan tahun depan untuk meraih peluang beraksi di Sukan Olimpik.

"Saya sangat berpuas hati kerana semua perancangan dan sasaran tahun ini tercapai dengan meraih pingat emas di Sukan Komanwel," kata Vivian, pelajar Universiti Malaya tahun akhir jurusan sarjana muda pengajian sains sukan.

Senada dengan beliau, Woon berkata mereka perlu lebih fokus dan berlatih bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi masing-masing terutamanya pada tahun depan bagi meraih tiket beraksi ke Sukan Olimpik.

"Secara keseluruhan tahun ini, saya berpuas hati dengan prestasi kami. Menanti kami pada tahun depan lebih penting dan mencabar.

"Insentif yang diberikan kepada atlet hari ini memang penyuntik semangat untuk lebih bersaing pada masa akan datang," kata Woon, pelajar Universiti Malaya tahun akhir jurusan sarjana muda pengajian sains sukan.

Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM613,000 kepada atlet institut pengajian tinggi yang cemerlang dalam kejohanan dunia serta temasya sukan utama sepanjang tahun 2013-2014.

Selain beregu wanita negara itu, turut menerima insentif terbanyak ialah ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg (RM23,500); atlet karate, Lim Chee Wei(RM21,000) dan atlet terjun, Cheong Jun Hoong (RM17,500). - BERNAMA

Berita Harian X