Jumaat, 26 September 2014 | 6:09pm

EPL: Lampard terus teka teki lanjut kontrak bersama City

AKSI pemain pinjaman Manchester City, Frank Lampard dari kelab di Liga Major Amerika (MLS, New York City. - Foto EPA
AKSI pemain pinjaman Manchester City, Frank Lampard dari kelab di Liga Major Amerika (MLS, New York City. - Foto EPA

LONDON: Frank Lampard menegaskan dia tidak pernah menjalankan sebarang perbincangan untuk melanjutkan tempoh pinjamannya bersama Manchester City.

Bintang tengah yang meninggalkan Chelsea musim ini untuk menandatangani kontrak bersama kelab di Liga Major Amerika (MLS), New York City membuat kejutan apabila kembali ke England menerusi pinjaman bersama City.

Tempoh pinjamannya di Eastlands dijadual berakhir pada Januari namun persembahan memberangsangkan Lampard setakat ini membawa kepada khabar angin betapa pengurus City, Manuel Pellegrini mahu dia kekal bersamanya untuk jangka masa lebih lama.

Pemain berusia 36 tahun itu sudah meledak dua gol dalam dua penampilannya bersama City termasuk kemenangan besar 7-0 dalam aksi Piala Liga ke atas Sheffield, kelmarin dan jaringan penuh emosi dalam kempen Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea.

Dengan musim baru MLS hanya akan bermula pada Mac tahun depan ditambah dengan ketajaman Lampard, dia dikatakan tidak memerlukan ujian pra-musim di Amerika dan mungkin melanjutkan tempoh pinjamannya di England.

"Pandangan itu muncul selepas saya menjaringkan gol minggu lalu. Saya fikir adalah penting untuk saya bermain dengan baik jika saya mampu, berlatih dengan baik dan lihat apa yang berlaku.

"Saya sudah menandatangani kontrak di sini sehingga Januari jadi itulah yang saya boleh katakan ketika ini," kata Lampard.

Pellegrini baru-baru ini turut berkata ia bukanlah sesuatu yang 'mustahil' untuk dirinya meminta Lampard untuk kekal lebih lama namun ia bergantung kepada pemain itu sendiri.

"Saya tidak mahu terlebih dulu di depan. Bukanlah tempat saya untuk melakukannya," kata Lampard.

"Apa yang jelas ialah keputusan kelab terlebih dulu dan paling penting. Saya hanya berlatih sekeras mungkin dan bermain sebaik mungkin."

Lampard pada awalnya dijangka sekadar memegang peranan kecil bersama City yang dipenuhi barisan pemain tengah bintang namun perkara sebaliknya berlaku.

"Ia kelakar kerana niat saya adalah untuk mendapat cuti yang lebih panjang dan kemudian berlatih sendirian atau bersama jurulatih kecergasan.

"Saya berada dalam suasana bercuti apabila dipanggil kembali ke sini. Saya sudah mendapat ujian pra-musim yang amat baik ketika ini. Saya juga merasa amat baik dan merasa gembira berlatih dan bermain.

"Rakan-rakan di sini baik dan mereka di belakang tabir juga mengalu-alukan saya, staf, pengurus. Ia satu perubahan yang mudah." - AFP

Berita Harian X