Isnin, 22 September 2014 | 6:43pm
PEMAIN Manchester City, Frank Lampard menunjukkan tanda bagus kepada peminat dalam perlawanan ketika menentang Chelsea di Stadium Etihad, Manchester dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam. - Foto EPA
PEMAIN Manchester City, Frank Lampard menunjukkan tanda bagus kepada peminat dalam perlawanan ketika menentang Chelsea di Stadium Etihad, Manchester dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam. - Foto EPA

Mourinho kecewa tapi anggap Lampard profesional

LONDON: Jose Mourinho berkata dia sudah 'putus hubungan' dengan Frank Lampard selepas bekas pemain Chelsea itu hadir selaku pemain gantian dan menjadi penyelamat Manchester City dengan gol penyamaan, semalam.

Kedua-dua pasukan gergasi itu seri 1-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad.

Selepas ketinggalan 0-1 dan kehilangan pemain pertahanan, Pablo Zabaleta yang dilayangkan kad merah, pengurus City, Manuel Pellegrini memasukkan Lampard pada 15 minit terakhir.

Bekas pemain England itu bijak menyempurnakan peluang terhidang menolak masuk bola hantaran James Milner.

Chelsea mendahului menerusi jaringan jarak dekat Andre Schurrle pada minit ke-71 dan Mourinho terbayang kemenangan kelima berturut-turut tapi bekas anak didiknya menafikan hajat besar di laman lawan.

"Frank Lampard adalah pemain Manchester City dan saya tidak percaya mengenai cerita emosi kerana mungkin saya begitu biasa dengan situasi ini dalam bola sepak," kata Mourinho.

"Apabila dia mengambil keputusan untuk pergi bersama lawan Chelsea, maka cerita mengenainya sudah berakhir. Dia melakukan kerjanya sebagai profesional."

Pada perlawanan itu, peminat Chelsea kekal menyanyikan 'Super Frankie' dengan penuh emosi sejak Lampard mula dimasukkan sehingga tamat perlawanan.

"Ia amat sukar sekali," kata Lampard. "Saya anggap diri saya tak profesional jika saya tidak melakukan tugasan diberikan.

"Penyokong Chelsea menyanyikan nama saya dan ia adalah hari yang penuh emosional. Ini bukan cara yang saya mahu untuk mengucapkan selamat berpisah kepada penyokong Chelsea." - Reuters

Berita Harian X