Selasa, 16 September 2014 | 5:17pm
AKSI bintang Bayern Munich, Franck Ribery ketika perlawanan Bundesliga Jerman menentang VfB Stuttgart, Sabtu lalu. Bayern menang perlawanan itu 2-0.
AKSI bintang Bayern Munich, Franck Ribery ketika perlawanan Bundesliga Jerman menentang VfB Stuttgart, Sabtu lalu. Bayern menang perlawanan itu 2-0.

Liga Juara Eropah: Bayern optimis temu Man City

MUNICH: Buat kali kelima dalam tempoh empat tahun, dua gergasi Eropah, Bayern Munich dan Manchester City diundi bertemu sesama sendiri di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

Pada pertemuan pembukaan Kumpulan E, awal pagi Khamis ini, juara Jerman dan Inggeris itu akan bertemu di Allianz Arena, Munich, lokasi di mana City bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat kemenangan 3-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Disember tahun lalu.

Ketika City tewas kepada Barcelona di peringkat 16 terakhir, Bayern dimalukan dengan kekalahan agregat besar 5-0 di peringkat separuh akhir kepada juara, Real Madrid musim lalu.

Bayern ketika ini berkongsi kedudukan teratas Bundesliga Jerman selepas tiga perlawanan namun masalah kecederaan pemain dijangka mengganggu kempen mereka di pentas Eropah.

Bintang tengah, Bastian Schweinsteiger, Javi Martinez dan Thiago kesemuanya terpaksa disisihkan dan skuad Bavarian ini terus berdepan masalah kecederaan apabila pemain gantian, Holger Badstuber terpaksa dipapah keluar pada perlawanan Liga Sabtu lalu akibat masalah paha ketika menang 2-0 ke atas VfB Stuttgart.

Begitupun, kehadiran semula Franck Ribery yang pulih daripada kecederaan lutut sedikit memberi keceriaan buat Bayern dengan bintang Perancis itu pantas mencetus impak dengan menjaringkan gol ketika kemenangan ke atas Stuttgart.

"Kami ketika ini berada dalam situasi amat sukar kerana kami memiliki ramai pemain yang sedang cedera dan pemain yang tidak cergas sepenuhnya," kata Ribery.

"Namun kami cuba untuk mengatasinya. Kami melakukan segala-galanya yang kami mampu supaya kami memperoleh keputusan yang diharapkan."

Ribery yang memutuskan untuk memberi tumpuan penuh kepada aksi kelab dan mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa minggu lalu turut dikritik Presiden UEFA, Michel Platini yang mencadangkan pemain berusia 31 tahun dikenakan hukuman penggantungan.

Begitupun, amaran itu tidak mahu dipandang berat oleh Ribery.

"Ia tidak benar-benar menarik perhatian saya," kata Ribery. "Saya mengambil keputusan untuk bersara dan orang ramai perlu menerimanya," katanya. - AFP

Berita Harian X