Khamis, 28 Ogos 2014 | 12:21pm

Wenger label Sanchez peledak baru Arsenal ganti Giroud

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger beranggapan Alexis Sanchez memiliki ramuan untuk menggantikan Olivier Giroud selaku peledak baru apabila pemain Chile itu membantu pasukan layak ke Liga Juara-juara.

Apabila ditanya sama ada bekas bintang Barcelona itu boleh bermain selaku penyerang utama ketika dalam tempoh tanpa ketiadaan Giroud, Wenger membalas: 'Untuk tiga atau empat bulan? Dia boleh bermain sepanjang hidupnya sebagai penyerang utama."

Sanchez menjaringkan gol tunggal membantu The Gunners mengatasi kelab Turki, Besiktas 1-0 dalam perlawanan play-off kedua, awal pagi tadi untuk membantu Arsenal layak ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat musim ke-17 berturut-turut.

Giroud mungkin terpaksa berehat tiga atau empat bulan selepas pembedahan pada pergelangan kaki yang retak. Ini mungkin detik sesuai untuk Sanchez membuktikan nilainya mengetuai jentera serangan pasukan.

"Saya membelinya untuk bermain sebagai penyerang, bukan di bahagian sayap sahaja," kata Wenger

Gol Sanchez itu adalah jaringan pertama sejak dia berpindah dari Barcelona dengan nilai STG30 juta (RM150 juta).

"Dia ada teknik baik, semangat juang tinggi dan kualiti untuk menjadi penyerang berbahaya untuk kami dalam Liga Perdana Inggeris. Ini sangat penting ketika ini," kata Wenger. - AFP

Berita Harian X