Ahad, 11 Jun 2017 | 6:53pm

Wanita warga tua ditemui maut tergantung

SANDAKAN: Seorang wanita warga tua ditemui maut tergantung di bilik tidurnya di Taman Tai Fai Yuen, Batu 8, di sini, petang semalam.

Wanita terbabit yang berusia 82 tahun ditemui oleh anaknya tergantung pada tali yang dipercayai digunakan untuk bersenam kira-kira jam 4 petang, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata siasatan awal polis mendapati wanita terbabit menghidap sakit tulang dan sendi sejak 2013.

Katanya, menurut anak mangsa, wanita itu mengalami kemurungan sejak beberapa hari lalu dan mendakwa tidak tahan dengan penyakit dihidapi.

"Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur khianat atau perbuatan jenayah berlaku.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X