Sabtu, 20 Mei 2017 | 10:42pm
PDRM logo
PDRM logo

Warga tua ditemui mati dalam tandas

SANDAKAN: Seorang warga tua ditemui mati dalam tandas di rumahnya di Taman Damai, di sini, tengah hari tadi.

Wanita berumur 88 tahun yang tinggal seorang diri itu ditemui anak saudaranya yang datang melawat pada jam 12.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata anak saudara mangsa menemuinya dalam keadaan tidak bermaya di tandas sebelum menghubungi ambulans yang kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Katanya, siasatan awal polis mendapati mangsa menghidap penyakit darah tinggi dan sakit tulang.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau berkata, mangsa tinggal bersendirian dalam rumah terbabit dan tidak pernah berkahwin.

Berita Harian X