Selasa, 28 March 2017 | 4:31pm

Wanita dikhuatiri lemas di Sungai Igan

PENDUDUK kampung turut membantu mencari Jini yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Igan. - Foto ihsan Bomba
PENDUDUK kampung turut membantu mencari Jini yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Igan. - Foto ihsan Bomba

DALAT: Seorang wanita warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Igan, di sini, lewat petang semalam.

Kehilangan mangsa, Jini Tarubok, 75, hanya disedari penduduk kampung selepas perahu miliknya ditemui hanyut di sungai berkenaan kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Menurut sumber, penduduk menemui tangki minyak enjin perahu mangsa di jeti di rumahnya dan berusaha mencarinya.

Beliau berkata, jiran mangsa melihat wanita terbabit mengangkat tangki minyak enjin perahunya ke jeti pada jam 6 petang dan dia dikatakan hendak menziarahi saudaranya yang meninggal dunia di kampung sama.

"Selepas menemui botnya hanyut dan tangki minyak pula ditemui di jeti, penduduk percaya wanita itu terjatuh ke dalam sungai, mungkin pengsan kerana dia ada menghidap penyakit darah tinggi," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9 pagi tadi.

Beliau berkata, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dihantar ke lokasi kejadian untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

"Gerakan itu yang mendapat bantuan penduduk kampung gagal menemui mangsa sehingga jam 3.30 petang ini dan pencarian kini diteruskan ke hilir sungai berkenaan," katanya.

Berita Harian X