Ahad, 12 March 2017 | 3:09pm

Ops tipu meter, 4 kereta SESCO Miri disimbah cat

ANTARA kenderaan SESCO yang menjadi mangsa khianat di Miri. - Foto ihsan SESCO
ANTARA kenderaan SESCO yang menjadi mangsa khianat di Miri. - Foto ihsan SESCO

KUCHING: Empat kenderaan milik Syarikat SESCO Berhad, syarikat pengendali bekalan tenaga elektrik Sarawak yang terbabit dalam operasi pemeriksaan meter elektrik di Miri, disimbah cat ketika diletakkan di parkir bawah tanah sebuah hotel di bandar raya itu.

Jurucakap syarikat berkenaan berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan polis bagi mengesan pelaku dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan juga sudah diperoleh bagi membantu siasatan.

"Sebelum kejadian itu, kakitangan SESCO menjalankan operasi pemeriksaan meter elektrik di bandar raya ini untuk mengesan kecurian tenaga elektrik serta perbuatan mengubah meter.

"Tumpuan utama operasi itu ialah di premis pusat hiburan dan rumah urut. Dalam operasi itu, semua meter yang diperiksa, didapati sudah diganggu manakala dalam satu kes, semua meter sudah hilang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perbuatan khianat terhadap empat kenderaan syarikat terbabit dipercayai ada hubung kait dengan operasi yang sedang dijalankan itu dan kini pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, kejadian itu tidak akan melemahkan semangat kakitangan terbabit, sebaliknya mereka akan terus memerangi kegiatan mencuri tenaga elektrik dengan kerjasama polis dan Unit Inspektorat Elektrik (EIU) Kementerian Kemudahan Awam.

"Kegiatan mencuri tenaga elektrik termasuk mengubah meter adalah satu jenayah mengikut Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kecurian tenaga elektrik boleh menyalurkan maklumat itu kepada SESCO di talian 082-443535 dan orang ramai tidak perlu bimbang kepada pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

Berita Harian X