Sabtu, 4 March 2017 | 6:42pm

10 didenda merokok di Lapangan Terbang Tawau

TAWAU: Seramai 10 perokok didenda RM250 seorang selepas didapati merokok dalam kawasan larangan merokok di Lapangan Terbang Tawau di sini, hari ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Tawau, Rahman Sampe, berkata perokok terbabit dikesan menerusi operasi khas selama lima jam bermula pada jam 9.00 pagi tadi, membabitkan seramai 14 penguat kuasa jabatan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan larangan merokok di kawasan lapangan terbang dipatuhi seperti yang diwartakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Sebanyak 10 notis Seksyen 32B di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dikeluarkan, selain denda sebanyak RM250 kepada individu yang terbabit. 

"Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 demi menjaga kesihatan orang awam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu dalam operasi berasingan, sebanyak 11 premis di Kawasan Hill Top dan Batu 2 Jalan Apas di sini, dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi berkaitan pengendalian makanan, semalam.

Katanya, sebanyak 40 premis diperiksa dan antara kesalahan yang didapati sepanjang operasi itu ialah pengendali makanan tanpa suntikan anti tifoid, premis kotor, pekerja tidak mengikuti kursus pengendalian makanan dan gagal mempamerkan perakuan pendaftaran premis.

Berita Harian X