Ahad, 4 Disember 2016 | 4:10pm

Budak 12 tahun ditemui lemas

ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang ditemui lemas berhampiran jambatan sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, petang tadi. - Foto Mohd Adam Arinin
ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang ditemui lemas berhampiran jambatan sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, petang tadi. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas di Sungai Sembulan, berhampiran jambatan sebuah pusat beli-belah di sini, petang tadi.

Mayat Sefdeisen Seplin, 12, ditemui anggota bomba dan orang ramai pada jam 2.40 petang, berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan mengikut bapanya, Seplin Lais, 47, memukat ikan berhampiran jambatan itu sebelum dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Kamarudin Sabanah, berkata enam anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.41 tengah hari.

"Selepas hampir sejam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, mangsa ditemui pada kedalaman kira-kira tiga meter di bawah jambatan berhampiran pusat beli-belah berhampiran.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Operasi SAR turut dibantu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu serta Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu.

Berita Harian X