Sabtu, 5 November 2016 | 9:38pm

Van terbalik, pemandu kena sakit jantung

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang dipercayai kena serangan jantung ketika memandu. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang dipercayai kena serangan jantung ketika memandu. - Foto Ihsan Bomba

BAU: Seorang lelaki yang dipercayai kena serangan jantung ketika memandu cedera selepas kenderaannya terbabas dan terbalik berdekatan Hospital Bau, di Jalan Bau-Lundu di sini pagi tadi.

Mangsa, James Daek, 52, dari Kampung Tembawang Sauh, Bau, ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.18 pagi.

Beliau berkata, sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi pada jam 10.25 pagi, didapati seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam van jenis Toyota yang terbalik.

"Anggota bomba terpaksa membuka cermin hadapan van itu untuk mengeluarkan mangsa yang dipercayai pengsan akibat serangan jantung ketika memandu," katanya.

Farhan berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada anggota paramedik dan dikejarkan ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X