X
Jumaat, 4 November 2016 | 4:54pm

40,604 calon SPM, 27,239 calon STPM di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 40,604 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menduduki peperiksaan di 327 pusat peperiksaan di Sabah bermula Isnin ini hingga 6 Disember.

Ia membabitkan 34,140 calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 458 calon lagi bagi sekolah agensi kerajaan (MRSM), 222 calon sekolah menengah agama negeri, 1,337 dari sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan serta 4,447 calon persendirian.

Selain calon SPM kelas arus perdana, seramai 99 Calon Berkeperluan Khas (CBK) lagi daripada pelbagai kategori di seluruh negeri termasuk masalah pembelajaran, buta, rabun, kurang upaya pendengaran dan kurang upaya fizikal.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul, berkata seramai 27,239 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga bakal menduduki peperiksaan bermula 7 hingga 29 November di 101 pusat peperiksaan.

"Saya meminta semua Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan keadaan cuaca tidak menentu termasuk bencana banjir dan tanah runtuh.

"Pada masa sama, saya berharap Pegawai Pendidikan Daerah dapat mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah masing-masing bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Maimunah berkata, semua calon peperiksaan yang menduduki kertas Malaysian University English Test (MUET) di daerah Putatan esok, diberi pengecualian daripada terbabit dengan Latih Amal Tsunami peringkat negeri.

Beliau berkata, pihaknya sudah memohon pengecualian berhubung perkara itu melalui Pejabat Daerah Putatan.

"Esok program Latih Amal Tsunami peringkat negeri akan dilaksanakan di Putatan dan beberapa kawasan akan digunakan bagi tujuan itu.

"Justeru, bagi calon mengambil kertas MUET, mereka perlu terus menduduki peperiksaan jika terdengar siren kerana Jabatan Pendidikan sudah memohon pengecualian iaitu bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan," katanya.

Peperiksaan MUET sesi November 2016 berlangsung di 41 pusat peperiksaan dan membabitkan 2,950 calon di Sabah.

Berita Harian X