Isnin, 3 Oktober 2016 | 8:33pm
OPERASI berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berdekatan.
OPERASI berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berdekatan.
KEBAKARAN hutan seluas dua hektar di Gunung Seraik.
KEBAKARAN hutan seluas dua hektar di Gunung Seraik.

Bomba selamatkan hutan Gunung Seraik dari kebakaran

ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Gunung Seraik, Bako.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Gunung Seraik, Bako.

KUCHING: Tindakan pantas anggota bomba berjaya memadam kebakaran hutan seluas dua hektar di Gunung Seraik, Kampung Bako, di sini, yang berlaku sejak tengah hari tadi daripada merebak ke kawasan yang lebih luas.

Jurucakap Bilik Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.38 tengah hari sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, asap tebal dari hutan berkenaan dapat dilihat dari jarak dua kilometer kerana lokasi kebakaran itu terletak lebih 135 meter dari aras laut.

"Kebakaran itu disedari oleh seorang anggota bomba yang kebetulan berada di kawasan berhampiran kerana mempunyai urusan peribadi sebelum menghubungi bilik gerakan dan anggota terbabit kemudiannya terus mengetuai operasi pemadaman.

"Operasi itu berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berdekatan dan operasi pemadaman sepenuhnya sedang giat dijalankan," katanya.

Beliau berkata, bomba menggunakan teknik 'floating pump' dan pam angkut untuk memadamkan kebakaran dengan menggunakan sumber air terbuka.

"Anggota kami juga terpaksa menggunakan bot dari Jeti Bako di tebing sungai Gunung Seraik sebelum berjalan selama 15 minit untuk tiba di lokasi kebakaran dan kini pasukan bomba terus memantau kawasan berkenaan untuk memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

Berita Harian X