Isnin, 26 September 2016 | 7:13pm

Bas bawa 29 PATI ditahan

KETUA Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus. - Foto Norasikin Daineh
KETUA Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus. - Foto Norasikin Daineh

TAWAU: Polis menahan 31 individu termasuk 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki sebuah bas dipercayai untuk dihantar ke daerah berhampiran, tengah malam kelmarin.

Semua PATI berusia antara dua hingga 50 tahun bersama dua lelaki disyaki perantara itu, ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 12.30 tengah malam, selepas mengekori bas terbabit dari sebuah stesen minyak di Batu 5, Jalan Apas.

Terdahulu, mereka dipercayai memasuki daerah ini menggunakan sebuah bot menerusi Sungai Nyamuk dan mendarat di kawasan Batu 4.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata pemeriksaan dalam bas mendapati semua penumpang termasuk lima kanak-kanak tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Sebaik mendarat di kawasan Batu 4, semua PATI terbabit menaiki sebuah van ke stesen minyak di Batu 5 sebelum dibawa ke Sandakan dan Lahad Datu menaiki bas.

"Dua lelaki disyaki perantara ialah warga tempatan berusia 28 tahun yang juga pemandu bas dan seorang rakyat Indonesia berusia 32 tahun yang menguruskan kemasukan PATI ke Tawau.

"Mereka ditahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2010.

"Semua yang ditahan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut," katanya kepada media di sini, hari ini.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati daerah ini menjadi lokasi pendaratan PATI sebelum bergerak ke daerah lain untuk mencari pekerjaan atau tinggal di negeri ini.

Berita Harian X