Ahad, 14 Ogos 2016 | 10:53pm

Wanita maut, 3 parah kenderaan terbabas

KEADAAN pacuan empat roda yang remuk akibat terbabas menyebabkan seorang wanita maut, manakala tiga lagi parah di Jalan Saudau, Lahad Datu, petang tadi. - Foto Ihsan JBPM Sabah
KEADAAN pacuan empat roda yang remuk akibat terbabas menyebabkan seorang wanita maut, manakala tiga lagi parah di Jalan Saudau, Lahad Datu, petang tadi. - Foto Ihsan JBPM Sabah

LAHAD DATU: Seorang wanita maut, manakala tiga termasuk dua kanak-kanak parah selepas pacuan empat roda yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Jalan Sandau, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, bayi lelaki berusia 11 bulan, Abd Razif Abd Said, bagaimanapun terselamat dan tidak cedera.

Pemandu pacuan empat roda, Sabturina Mohd, 31, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan badan.

Tiga penumpang yang parah ialah Fatimah Dahlan, 28; Nor Selehah Abd Said, 11; dan adiknya, Nor Hafizah, 9.

Difahamkan, pacuan empat roda dinaiki semua mangsa terbabas sendiri ke bahu jalan mengakibatkan kenderaan itu remuk.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Bomba Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.03 petang sebelum menghantar tujuh anggota yang tiba di lokasi jam 5.27 petang.

"Jarak dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu ke lokasi ialah 21 kilometer dan sebaik tiba, semua mangsa yang parah sudah dikeluarkan oleh orang awam seterusnya dihantar ke Hospital Lahad Datu.

"Pemandu pacuan empat roda pula dikeluarkan oleh anggota bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dan operasi tamat pada jam 6.15 petang," katanya di sini.

Berita Harian X