Ahad, 14 Februari 2016 | 3:12pm

Perluas produk pelancongan berasaskan komuniti di Sabah

MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bersama ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai melihat ikan kelah di kawasan tagal di Sungai Kiulu dekat Kampung Poturidong, Kiulu, pagi tadi. - Foto Lano Lan
MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bersama ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai melihat ikan kelah di kawasan tagal di Sungai Kiulu dekat Kampung Poturidong, Kiulu, pagi tadi. - Foto Lano Lan

KIULU: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mahu produk pelancongan berasaskan komuniti setempat di Sabah, diperluas sebagai usaha meningkatkan sektor berkenaan, sekali gus menjana ekonomi penduduknya.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata Sabah memiliki masyarakat berbilang kaum yang kaya dengan keunikan budaya serta tradisi, di samping lokasi pelancongan menarik berasaskan alam semula jadi.

Katanya, gabungan dua elemen terbabit bertepatan dengan konsep kembali ke alam sekitar yang mahu dipromosikan kementeriannya bagi menarik kunjungan pelancong sepanjang tahun 2016.

"Apabila bercakap soal pelancongan, elemen kebudayaan amat penting seperti masyarakat di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian budaya hingga menjadi tarikan pelancong asing.

"Kombinasinya dengan tarikan alam semula jadi yang ditawarkan menjadi pakej menarik dan kita akan beri bantuan serta sokongan supaya aktiviti pelancongan berasaskan komuniti ditingkatkan," katanya kepada media selepas melawat kawasan tagal di Kampung Poturidong, di sini, hari ini.

Turut sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Pengerusi Pusat Rekreasi Tagal Kampung Poturidong, Janih Bangud.

Mengenai lawatannya ke Kampung Poturidong, Mohamed Nazri berkata, kampung itu dan Kiulu secara keseluruhannya adalah contoh kawasan yang menawarkan produk pelancongan berasaskan komuniti.

"Di Kiulu ada aktiviti 'white water rafting' selain mengamalkan sistem tagal serta masyarakatnya masih mengekalkan amalan turun-temurun yang begitu unik serta menjadi tarikan kepada pengunjung luar.

"Saya kagum kerana masyarakat di Kiulu masih mengekalkan identiti setempat, misalnya guna nama Kiulu White Water Rafting bagi mempromosikan aktiviti lasak itu, sekali gus Kiulu jadi terkenal.

Terdahulu, beliau mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Persatuan Tagal Kampung Poturidong bagi melaksanakan kerja memulihara keindahan sungai dan menyediakan kemudahan asas selesa kepada pengunjung.

Berita Harian X