Khamis, 4 Februari 2016 | 12:09pm

Adenan mohon pelajar Cina Sarawak masuk UA guna UEC

KETUA Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pemberian Kuasa Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Malaysian Phosphate Addictives (Sarawak) Sdn Bhd yang diadakan di Hotel Hilton, semalam. - Foto Jeakqleyn Yacho

KUCHING: Kementerian Pendidikan Tinggi diminta mempertimbangkan kemasukan pelajar Cina Sarawak ke universiti awam (UA) di negeri itu menggunakan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC).

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berkata tindakan itu selari dengan kedudukan kerajaan negeri yang mengiktiraf UEC.

"Pendidikan adalah perkara tunjang bagi masyarakat Cina. Pendirian saya mengenai pengiktirafan UEC adalah jelas dan saya mahu pelajar yang memiliki sijil itu diterima masuk di UA negeri ini, bukan setakat universiti swasta.

"Saya akan berunding dengan pihak berkenaan di peringkat Pusat untuk merealisasikan perkara ini.

"Ia bukan soal pilihan raya tetapi ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan bagi masyarakat Cina," katanya berucap merasmikan bangunan baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Hua No 1 di sini, sebentar tadi.

Adenan turut mengumumkan bantuan kerajaan negeri berjumlah RM500,000 kepada sekolah terbabit.

Berita Harian X