Sabtu, 26 Disember 2015 | 6:45pm

Penunggang motosikal maut langgar lori

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar lori yang membuat pusingan U di Jalan Tuaran Bypass, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Zaini Abdul Jalal, 57, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss, disahkan mati di tempat kejadian oleh anggota paramedik sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.

Dalam kejadian di Kilometer 11, Jalan Tuaran Bypass, kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berasal dari Kampung Inanam Laut, di sini, dipercayai gagal mengelak lori terbabit yang dalam perjalanan dari Taman Kingfisher, di sini, ke Penampang.

Berikutan pelanggaran itu, mangsa tercampak ke badan lori sebelum jatuh di atas jalan raya menyebabkannya mengalami cedera parah di kepala, manakala pemandu lori yang dikenali sebagai Vincent Bernard Sembun, 36 tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang tidak memberi laluan kepada kenderaan di jalan utama. 

"Ketika kejadian, lori yang dalam perjalanan dari Taman Kingfisher ke Penampang itu sedang membuat pusingan U sebelum sebuah motosikal yang ditunggang mangsa di jalan lurus dari arah Tuaran ke Kota Kinabalu melanggar tepat tepi sebelah kiri lori," katanya, di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X