Rabu, 16 Disember 2015 | 1:30pm

Bayi parah kenderaan dirempuh kereta api

KENDERAAN pacuan empat roda yang dinaiki tiga sekeluarga termasuk seorang bayi terbabas ke kawasan semak selepas dirempuh kereta api di Kampung Mandahan, di Papar, pagi tadi. - Foto NSTP
KENDERAAN pacuan empat roda yang dinaiki tiga sekeluarga termasuk seorang bayi terbabas ke kawasan semak selepas dirempuh kereta api di Kampung Mandahan, di Papar, pagi tadi. - Foto NSTP

PAPAR: Tiga sekeluarga, termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun mengalami detik cemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dirempuh kereta api, di Kampung Mandahan, dekat sini, pagi tadi.

Berikutan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux mangsa terbabas dan terbalik ke kawasan semak berhampiran.

Difahamkan bayi lelaki itu cedera parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut.

Maklumat lanjut mengenai dua mangsa lagi belum diketahui setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Papar Dunstan Peter ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata bomba menerima panggilan pada jam 9.22 pagi.

"Semua mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda sudah dihantar ke QEH di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

"Penumpang keretapi tidak mengalami kecederaan dan meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya," katanya.

Berita Harian X