Khamis, 18 Mei 2017 | 4:09pm

Tauke sawit disyaki dalang curi sawit

LORI berisi sawit curi yang dirampas hasil penahanan 13 suspek disyaki terbabit sindiket curi sawit sekitar ladang daerah ini.
LORI berisi sawit curi yang dirampas hasil penahanan 13 suspek disyaki terbabit sindiket curi sawit sekitar ladang daerah ini.

KLUANG: Polis berjaya mematahkan sindiket curi kelapa sawit di sekitar ladang daerah ini dengan penahanan seorang suspek bersama lori berisi sawit yang disyaki dicuri di Taman Puteri berhampiran Kampung Gajah, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi kelmarin itu, suspek ditahan sepasukan polis yang membuat serbuan hasil maklumat orang ramai.

Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata hasil penahanan lelaki itu membawa kepada penahanan 12 lagi suspek kes curi kelapa sawit di daerah ini manakala dua lori seberat dua tan yang berisi sawit turut dirampas.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua 13 suspek berusia antara 30 hingga 40-an itu bergerak dalam satu sindiket curi kelapa sawit yang mensasarkan ladang kelapa sawit di sekitar kawasan Kahang dan Paloh.

"Selepas buah sawit dicuri dan dimasukkan ke dalam lori, ia akan dihantar ke kilang pemprosesan sawit di Batu 4, dekat sini, dan mereka akan mendapat upah daripada dua dalang utama iaitu tauke sawit yang kini sudah pun dikenal pasti.

"Siasatan turut mendedahkan suspek berkenaan turut menyalah guna akaun pemilik lain termasuk Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) sebagai tiket memudahkan proses penghantaran sawit ke kilang pemprosesan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kesemua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya, polis kini sedang mengesan dua tauke sawit yang menjadi dalang utama kes kecurian sawit di sini bersama seorang lagi suspek bagi menyelesaikan siasatan.

Berita Harian X