Khamis, 29 Disember 2016 | 8:26pm
BARANGAN yang dirampas dari suspek dalam kejadian pecah kereta di Taman Rekreasi Tampin. - Foto ihsan Polis
BARANGAN yang dirampas dari suspek dalam kejadian pecah kereta di Taman Rekreasi Tampin. - Foto ihsan Polis

Suami isteri kaki pecah kereta

Suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah kereta di Taman Rekreasi Tampin, suspek lelaki bukan kudung (tangan di belakang). - Foto ihsan Polis
Suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah kereta di Taman Rekreasi Tampin, suspek lelaki bukan kudung (tangan di belakang). - Foto ihsan Polis

TAMPIN: Seorang mekanik kereta yang dibebaskan dari penjara Julai lalu, ditahan bersama isterinya selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah kereta di Taman Rekreasi Tampin, di sini, hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun itu pernah ditangkap sebanyak 13 kali, manakala isterinya empat kali kerana pelbagai kesalahan.

Pasangan itu ditahan di Pulau Sebang, Melaka.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata pasangan itu dipercayai memecahkan cermin sebuah kereta PROTON Iswara, milik seorang lelaki.

Katanya, mangsa dan tunangnya yang pergi ke kereta itu, kira-kira jam 11 pagi, terkejut apabila mendapati cermin kereta pecah, manakala pelbagai barangan seperti beg serta dokumen seperti kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan wang tunai RM250 hilang dengan nilai kerugian kira-kira RM1,000.

"Kejadian pecah kereta itu dilihat oleh seorang wanita yang sempat mencatat nombor pendaftaran kereta yang digunakan oleh pasangan terbabit dan segera melaporkan kepada polis," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hamazah berkata, hasil siasatan, polis menyerbu sebuah rumah di Pulau Sebang, kira-kira jam 2 petang dan menangkap pasangan terbabit.

Katanya, pasangan terbabit kemudian menunjukkan kawasan semak berhampiran sungai, di mana mereka membuang barangan dan dokumen pengenalan diri mangsa.

"Polis turut merampas sebuah kereta PROTON Wira yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, manakala hasil ujian air kencing mendapati mereka didapati positif menggunakan syabu," katanya yang menyatakan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, iaitu mencuri.

Berita Harian X