Sabtu, 17 Disember 2016 | 12:28am

Polis bantuan cedera terkena peluru penabur

M Vigneswaran cedera di pipi kiri dan belakang badan terkena peluru penabur yang dipercayai dilepaskan pemburu ayam hutan di sebuah ladang kelapa sawit di Batu Anam, Segamat. - Foto Ahmad Ismail
M Vigneswaran cedera di pipi kiri dan belakang badan terkena peluru penabur yang dipercayai dilepaskan pemburu ayam hutan di sebuah ladang kelapa sawit di Batu Anam, Segamat. - Foto Ahmad Ismail

SEGAMAT: Seorang anggota polis bantuan cedera di pipi kiri dan belakang badan terkena peluru penabur yang dipercayai dilepaskan pemburu ayam hutan di sebuah ladang kelapa sawit di Batu Anam di sini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang semalam, M Vigneswaran, 26, sedang melalukan rondaan bermotosikal bersama rakan setugas, Muhamad Hasnor Rahmin, 31, di kawasan itu.

Katanya, ketika meronda Muhamad Hasnor mendengar jeritan rakan setugasnya yang ketika itu menunggang motosikal di belakangnya sejurus terdengar satu tembakan.

"Muhamad Hasnor memberhentikan motosikalnya dan berlari mendapatkan Vigneswaran yang ketika itu sedang menekup pipi kirinya yang berlumuran darah sambil menjerit kesakitan.

"Mangsa juga mengadu sakit di belakang badan dan apabila rakan setugasnya memeriksa mendapati ia luka akibat tembakan peluru penabur tetapi selepas membuat pemeriksaan di dalam ladang kelapa sawit itu, anggota polis bantuan itu tidak menemui sesiapa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mangsa dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil selepas doktor mengeluarkan peluru penabur.

Susulan kejadian itu, polis kemudian menahan dua lelaki tempatan yang tiada pekerjaan tetap berusia 24 dan 32 tahun di sekitar Batu Anam di sini, kira-kira jam 11.50 malam hari sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X