Rabu, 30 November 2016 | 6:09pm

Tahun Melawat ASEAN 2017 tingkatkan pelancong ke Johor

HO CHI MINH: Tahun Melawat ASEAN 2017 akan menjadi platform kepada ejen dan pemain industri pelancongan memperkenalkan pakej produk lebih dinamik bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancongan ke Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata peluang itu perlu diambil memandangkan Johor mempunyai produk pelancongan lengkap, yang kini menjadi tumpuan pelancong di Asia Tenggara.

Katanya, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa langkah, termasuk melancarkan siri promosi Xplore Johor ke negara yang mempunyai penerbangan terus dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), selain memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam sektor pelancongan dengan negara ASEAN lain.

"Misi Xplore Johor menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Johor daripada kedatangan 121 juta pelancong ke negara ASEAN menjelang akhir 2017.

"Malah, dengan pelbagai produk tarikan pelancong seperti Taman Tema Hello Kitty, Johor Premium Outlet (JPO), Legoland Malaysia dan Taman Aktiviti Angry Bird Johor Bahru, ia diyakini mampu menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Malaysia khususnya Johor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Misi Xplore Johor ke Ho Chi Minh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh, Sofian Akmal Abd Karim; Pengarah Tourism Johor, Mohd Gadaffie Abdul Aziz; Pengarah Tourism Malaysia di Vietnam, Abdul Hadi Che Man serta wakil kumpulan Johor Corporation.

Menerusi program itu, seramai 150 agen pelancongan di Vietnam mengadakan padanan perniagaan dengan 50 delegasi dari Johor yang terdiri daripada pemain industri dan agensi pelancongan.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan Misi Xplore Johor ke Jakarta dan Bangkok, tahun depan.

Berita Harian X