Selasa, 29 November 2016 | 6:52pm

Johor pergiat usaha bawa masuk pelancong Vietnam

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (tengah) diberi taklimat oleh Pengarah Tourism Malaysia di Vietnam, Abdul Hadi Che Man di Pejabat Tourism Malaysia di Ho Chi Minh di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (tengah) diberi taklimat oleh Pengarah Tourism Malaysia di Vietnam, Abdul Hadi Che Man di Pejabat Tourism Malaysia di Ho Chi Minh di sini, hari ini.

HO CHI MINH: Komuniti pelancong dari Vietnam adalah sasaran baharu Tourism Johor dalam usaha membawa masuk lebih ramai pelancong asing secara agresif, sekali gus menepati objektif Pelan Strategik Pemasaran Pelancongan Johor 2016-2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata lebih 94 juta penduduk Vietnam, selain penerbangan dua hala Johor Bahru dengan bandar raya ini yang dihuni 8.22 juta orang, berpotensi menjadi pelancong ke Johor.

"Sempena Tahun Melawat ASEAN 2017, Johor dan Ho Chi Minh akan memperkukuhkan hubungan kerjasama khususnya dalam pelancongan dan perdagangan.

"Memandangkan Johor mempunyai populasi 3.55 juta orang, dan bandar raya Ho Chi Minh seramai 8.22 juta, kita ada satu pasaran bersama membabitkan kira-kira 12 juta orang yang boleh diterokai bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas taklimat di Pejabat Tourism Malaysia bersama delegasi pemain industri dan agensi pelancongan sempena Misi Xplore Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh, Sofian Akmal Abd Karim; Pengarah Tourism Johor, Mohd Gadaffie Abdul Aziz dan Pengarah Tourism Malaysia di Vietnam, Abdul Hadi Che Man serta wakil kumpulan Johor Corporation.

Misi Xplore Johor ke Ho Chi Minh selama tiga hari bermula hari ini bertujuan mempromosi produk dan perkhidmatan di bandar itu yang menjadi antara pasaran baharu muncul yang penting di rantau ASEAN.

Siew Kiong berkata, perkhidmatan penerbangan terus AirAsia dari Ho Chi Minh ke Johor Bahru sebanyak tujuh kali seminggu sejak 2014, juga menunjukkan sambutan memberangsangkan.

Tahun lalu, seramai 30,650 pelancong dicatatkan dari Ho Chi Minh ke Johor Bahru menerusi penerbangan, dan 36,918 orang dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Terdahulu, Siew Kiong melakukan kunjungan hormat ke pejabat Kesatuan Pertubuhan Persahabatan Bandaraya Ho Chi Minh (HUFO) yang disambut Presidennya, Lee Hung Quoc.

Berita Harian X