Khamis, 20 Oktober 2016 | 9:28pm

Polis siasat punca kematian kanak-kanak OKU

JOHOR BAHRU: Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kematian seorang kanak-kanak lelaki kelainan upaya (OKU), yang ditemui dalam keadaan cedera di bilik air rumahnya di Bukit Tekedai, Endau, Mersing, dekat sini, semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Mohamad Roshamnudin Abdullah, 11, ditemui terbaring dalam bilik air dengan keadaan tong air menghempap kakinya.  

"Kejadian itu disedari oleh ibu mangsa apabila mendapati kanak-kanak terbabit berada terlalu lama dalam bilik air. 

"Wanita berkenaan kemudian mengangkat anaknya dan ketika itu, mangsa masih hidup. Beliau kemudian menghubungi suaminya bagi memaklumkan kejadian berkenaan dan mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Endau, dekat sini untuk rawatan.

"Apabila sampai di klinik, pembantu perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan wanita itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. 

Kamarul Zaman berkata, siasatan awal di klinik kesihatan berkenaan mendapati terdapat kesan melepuh seperti kudis buta atau kesan seperti terkena api rokok pada badan mangsa.  

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Polis masih belum memperoleh laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Berita Harian X