MUAR: Semua daerah di Johor disaran supaya membangunkan aplikasi pelancongan sendiri bagi memudahkan pelancong menikmati pelbagai produk pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata inisiatif itu sebahagian usaha mempromosi dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
"Aplikasi pelancongan yang perlu dibangunkan perlu membabitkan semua aspek termasuk penginapan, lokasi bersejarah, tempat beriadah, tempat makan, kebudayaan dan warisan yang terdapat di daerah di Johor.
"Selain itu, kita juga perlu menggabungkan semua pakej ini bagi membolehkan semua tarikan yang ada di setiap daerah di Johor dapat diketengahkan, seterusnya menjadikan Johor antara destinasi pelancongan utama di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja sehari ke daerah Muar dan taklimat pembangunan pelancongan di daerah Muar, hari ini.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Ramlee A Rahman dan Pengarah Pelancongan Johor, Gadaffie Abd Aziz.
Pada program itu, Siew Kiong turut meninjau projek pembinaan Maharani IKS Village, menyusuri Sungai Muar menerusi perkhidmatan Muar River Cruise, melawat lokasi penangkapan tiram dan hotel kontena.
Sementara itu, Siew Kiong berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap kemajuan pelancongan yang dicapai di Muar yang diyakini mampu menjadi lokasi pelancongan pilihan pelancong pada masa depan.
"Terdapat banyak lokasi warisan di Muar termasuk sembilan bangunan bersejarah. Selain itu, banyak produk pelancongan baharu seperti Muar Waterfront dan Gerbang Bentayan yang akan memberi nilai tambah kepada produk sedia ada.
"Muar juga turut menganjurkan beberapa acara yang kini sinonim dengan daerah itu seperti Larian Jambatan Muar, Karnival Maharani dan Jamboree Basikal Parit Jawa yang turut disertai peserta luar negara," katanya.